Selasa, 16 Oktober 2018 | 12:44pm
- Foto Hiasan
KAKITANGAN OrphanCARE menunjukkan cara meletakkan bayi di Baby

3,355 pasangan mohon 'bayi segera'

KUALA LUMPUR: Lebih 3,000 pasangan suami isteri memohon mendapatkan bayi yang diberi perlindungan oleh Yayasan OrphanCARE, sama ada diselamatkan atau ditinggalkan di pusat program Baby Hatch kendalian yayasan itu.

Ia membuktikan ramai sanggup menerima ‘bayi segera’ untuk dipelihara selepas mereka ‘dibuang’ ibu atau bapa sendiri, sekali gus memberi jaminan keselamatan serta peluang tinggi untuk si kecil menjalani hidup lebih sihat.

Pengurus Latihan dan Pentadbir Program Yayasan OrphanCARE, Syarhah Mohamed Tahir, mengakui permohonan diterima pihaknya untuk mendapatkan anak angkat sangat tinggi, namun hanya pasangan yang melepasi penilaian serta menepati kriteria ditetapkan akan disenarai pendek.

“Sehingga kini 209 bayi yang diselamatkan Yayasan OrphanCARE termasuk 53 yang ditinggalkan di Baby Hatch, sudah diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing-masing. Ada lagi kira-kira 30 pasangan dalam senarai menunggu untuk mendapatkan bayi dari Baby Hatch sebagai anak angkat.

“Pasangan itu disenarai pendek selepas tapisan dibuat kepada keseluruhan 3,355 permohonan yang diterima sejak khidmat perlindungan bayi ini kami mulakan pada 2009,” katanya kepada BH.

Beliau bagaimanapun mengakui kemudahan Baby Hatch masih gagal dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengatasi kematian akibat kes buang bayi, sedangkan ia terbukti membantu mengurangkan risiko bayi maut akibat jenayah itu.


KEMUDAHAN Baby Hatch masih gagal dimanfaat.

Katanya, ini terbukti apabila jumlah bayi diserahkan melalui rangkaian Baby Hatch di seluruh negara jauh lebih rendah rendah berbanding keseluruhan kes buang bayi yang direkodkan setiap tahun.

Hanya 2 bayi diserah tahun ini

Tahun ini, beliau berkata, hanya dua bayi diterima Baby Hatch, sedangkan 85 kes buang bayi direkodkan Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman untuk tempoh Januari hingga Jun.

Berdasarkan rekod Yayasan OrphanCARE, seramai 36 daripada 53 bayi diterima melalui Baby Hatch di tiga lokasi, iaitu Petaling Jaya di Selangor, Johor Bahru di Johor dan Sungai Petani di Kedah, manakala 17 lagi melalui kemudahan sama di rangkaian tujuh Hospital Pakar KPJ seluruh negara.

Syarhah berkata, pihaknya berhasrat bertemu ibu atau bapa yang meninggalkan bayi mereka kerana menyedari bukan semua benar-benar berniat melakukan jenayah itu, sebaliknya mungkin kerana terdesak, panik, malu, miskin atau akibat dirogol.

“Dengan memilih Baby Hatch, ia membuktikan individu terbabit mahukan jaminan keselamatan buat bayi yang ditinggalkan. Ada yang menangis ketika meletakkan bayi dalam kotak disediakan, selain tinggalkan surat untuk bayi atau keluarga angkat dan memohon maaf.

“Malah ada yang bertukar fikiran dan mengambil anak itu semula kerana sayang,” katanya sambil menambah, pihaknya menghadapi kekangan kos tinggi untuk penyelenggaraan, pengurusan dan pelbagai aspek lain untuk mengembangkan rangkaian Baby Hat-ch.

“Namun, kami sedia mempertimbangkan jika dibantu penaja kerana memang kami harap kemudahan ini dapat disediakan di lebih banyak lokasi khususnya di luar bandar.

“Kalau boleh Baby Hatch dapat disediakan di hospital kerajaan supaya lebih ramai bayi dapat diselamatkan,” katanya.

107 dibaca
Berita Harian X