Isnin, 15 Oktober 2018 | 2:34pm
FOTO hiasan.

Tandas tempat mudah buang bayi tutup malu

Golongan berusia antara 18 hingga 25 tahun paling ramai terbabit kes buang bayi, dengan pendedahan meluas kepada aplikasi sosial tanpa sekatan, antara pendorong utama. Membimbangkan apabila 33.71 peratus mangsa dalam kes buang bayi yang dikendalikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disahkan meninggal dunia.

• 354 kes buang bayi direkodkan Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

• Selangor catat kes buang bayi tertinggi dengan 23.97 peratus daripada keseluruhan 534 kes, diikuti Johor dan Kuala Lumpur, masing-masing 11.24 peratus dan 10.86 peratus.

• Remaja hamil luar nikah dan terbabit kes buang bayi lalui beberapa fasa kritikal menyebabkan mereka cenderung alami masalah kesihatan mental.

KUALA LUMPUR: Tandas menjadi pilihan utama individu tidak bertanggungjawab membuang janin atau bayi mereka sejurus dilahirkan bagi mengelak malu dan menyimpan rahsia daripada keluarga dan masyarakat.

Punca pembuangan bayi rata-ratanya akibat seks bebas, namun apa yang menyedihkan, sebahagian besar bayi yang dibuang itu ditemui sudah tidak bernyawa.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 354 kes buang bayi di seluruh negara dalam tempoh 2014 hingga Jun lalu, turut menyenaraikan tempat pembuangan sampah dan loji kumbahan antara tiga teratas lokasi tumpuan pembuangan bayi.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Superintendan Siti Kamsiah Hassan, berkata rekod pihaknya mendapati 13 peratus daripada keseluruhan kes disiasat mendapati bayi dibuang di tandas, diikuti 9,08 peratus di kawasan sampah dan loji kumbahan sebanyak 8.05 peratus.

Apa yang menyedihkan, katanya hanya 33.71 peratus daripada 534 bayi yang ditemui dalam tempoh itu selamat, selebihnya meninggal dunia

Beliau berkata, wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun paling ramai terbabit kes buang bayi apabila mewakili 22.91 peratus daripada keseluruhan 534 kes direkodkan, dengan pendedahan meluas golongan itu kepada aplikasi sosial tanpa sekatan dikenal pasti antara pendorong utama.

Katanya, kebanyakan yang terbabit adalah wanita muda lepasan sekolah yang tidak lagi di bawah pengawasan ibu bapa.

“Bagi pecahan kes mengikut negeri, Selangor mencatat kes buang bayi tertinggi dengan 23.97 peratus daripada keseluruhan 534 kes, diikuti Johor dan Kuala Lumpur, masing-masing 11.24 peratus dan 10.86 peratus.

“Tiga negeri berkenaan dalam senarai teratas, dipercayai didorong populasi penduduk tinggi serta status pusat bandar yang menjadi tumpuan orang ramai bekerja,” katanya.

Siti Kamsiah mengakui menjadi cabaran kepada polis untuk mengekang jenayah akibat penggunaan teknologi tanpa sempadan, termasuk dalam kes buang bayi.

Remaja panik

Golongan usia antara 18 hingga 25 tahun mempunyai keinginan tinggi dalam penggunaan internet, lebih teruk pengenalan singkat dan mudah melalui aplikasi sosial menyumbang kepada kesalahan seksual, sekali gus menjurus kepada pembuangan bayi.

“Kurang pengawasan ibu bapa dan kemudahan internet tanpa sempadan memudahkan mereka melayari kandungan negatif dan bahan yang secara tidak langsung mendorong kepada kesalahan seks, lebih-lebih lagi jika akses pergaulan bebas lebih terbuka.

“Ia kemudian mendorong kepada aktiviti seksual seperti seks bebas dan rogol yang akhirnya mengundang kepada kes buang bayi. Masalah timbul apabila mengandung, mula panik kerana tidak mahu keluarga tahu.

“Dalam keadaan tidak mampu berfikir secara waras, jalan mudah adalah dengan membuang janin atau bayi sejurus dilahirkan. Kes buang bayi dari dulu sudah berlaku, tetapi tidak sekerap selepas dipengaruhi teknologi tanpa batasan dengan jumlah kes saban tahun juga meningkat,” katanya.

Siti Kamsiah berkata, pelbagai program digerakkan bagi memberi kesedaran dan langkah pencegahan awal, khususnya di peringkat universiti dan sekolah, malah turut menyasarkan golongan kanak-kanak yang disifatkan mudah terpengaruh.

“Kita (polis) hanya boleh membantu dari segi undang-undang. Pihak lain terutama ibu bapa perlu lebih tegas dalam memantau anak-anak serta memberi didikan agama secukupnya dalam mengatasi kes pembuangan bayi ini.

“Mengawal anak menjadi cabaran ibu bapa masa kini dan kita akui kurangnya pengawasan ibu bapa serta keruntuhan institusi kekeluargaan menyumbang kepada faktor ramai remaja terdedah kepada masalah sosial, termasuk perlakuan seks bebas,” katanya.


PENOLONG Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Superintendan Siti Kamsiah Hassan.

Remaja hamil luar nikah terganggu emosi, mental

Sementara itu, Pakar Psikologi Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor, berkata remaja hamil luar nikah yang turut terbabit kes buang bayi, terpaksa melalui beberapa fasa kritikal khususnya dari segi emosi menyebabkan mereka cenderung mengalami masalah kesihatan mental.

Katanya, selain kesan biasa seperti muram dan pasif akibat belenggu tekanan dihadapi, remaja berkenaan turut berisiko mengalami masalah kesihatan mental yang lebih serius sehingga mendorong mereka melakukan perkara yang tidak seharusnya berlaku.

“Hamil luar nikah bagi remaja sudah cukup tertekan, menyebabkan fikiran mereka tidak tenang dan emosi tidak stabil. Ini berlaku kerana mereka takut untuk berdepan dunia luar yang sememangnya tidak menerima keadaan mengandung luar nikah.

“Perasaan takut dengan keluarga dan kritikan kawan, ditambah status pasangan yang tidak mahu bertanggungjawab, memberi lebih tekanan dalam hidup walaupun sebelum disusuli perlakuan buang bayi,” katanya kepada BH.

Pengasas Pertubuhan dan Kebajikan Rumah Kita (Rumah Kita), Vimmy Yasmin Abd Razak, berkata fasa kritikal tidak terhenti di situ, sebaliknya berterusan apabila terpaksa melalui tempoh pantang tanpa bayi yang dilahirkan di sisi.

“Mereka (remaja hamil luar nikah dan terbabit kes buang bayi) sememangnya tidak sedar apa yang dilakukan. Buang bayi yang dianggap perlakuan bagi menutup malu atau merahsiakan kelahiran dari umum, adalah tindakan terdesak dan ia perlu dikawal dari awal lagi,” katanya.

Berita Harian X