Sabtu, 13 Oktober 2018 | 3:14pm
ANTARA laporan dalam BH mengenai kolej perdaya pelajar.

Pelajar diperdaya kolej mohon kerajaan campur tangan

KUALA LUMPUR: Pelajar kursus kulinari yang menjadi mangsa penipuan sebuah kolej swasta, di sini, menggesa pihak kerajaan campur tangan untuk membela nasib mereka.

Selain membantu dalam urusan tuntutan ganti rugi yang difailkan melalui Tribunal Tuntutan Pengguna (TTP), rata-rata mereka memohon diberikan kemudahan untuk ditempatkan di mana-mana kolej kerajaan untuk mengikuti kursus sama.

Seorang pelajar yang hanya ingin dikenali Salina, 18, mengakui rata-rata pelajar terkejut mendapat tahu status kursus disediakan kolej swasta berkenaan yang sudah ditarik balik tauliah, menyebabkan nasib mereka kini samar.

Beliau terjebak memasuki kolej berkenaan kerana terpedaya dengan iklan program Diploma, sijil Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia selain didakwa satu-satunya kolej paling murah dan ditaja sepenuhnya.

"Bagaimanapun, saya baru tahu bahawa kolej kerajaan lebih murah, percuma selain pemberian elaun bulanan, berbanding kolej berkenaan yang memotong gaji bulanan saya walaupun bekerja seperti pekerja sepenuh masa.

"Terlalu banyak penipuan dilakukan termasuk dijanjikan mendapat sijil JPK, bagaimanapun saya terkejut nama tidak didaftar ke JPK," katanya kepada BH.

BH pada minggu lalu melaporkan pengesahan penutupan kolej terbabit atas arahan oleh Ketua Pengarah JPK, Nidzam Kamarulzaman setelah surat pembatalan pentauliahan kepada Pusat Bertauliah berkenaan dikeluarkan JPK.

Laporan itu turut memetik surat terbabit dikeluarkan atas arahan Seksyen 29 Akta 652 di mana kolej terbabit harus memulangkan semua sijil pentauliahan dalam tempoh tiga bulan.

Tindakan terbabit susulan pembongkaran BH terhadap operasi mencurigakan kolej berkenaan yang didakwa membekalkan tenaga kerja murah melalui program latihan industri.

Semakan JPK mendapati hanya 25 pelajar didaftarkan kolej berkenaan sejak ia ditauliahkan pada 2016, dan mengikut syarat JPK tempoh latihan industri yang dibenarkan hanyalah antara 20 hingga 30 peratus saja.

Dalam pada itu, Salina bersama empat rakannya membuat laporan polis yang dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang petang kelmarin, selepas pihak kolej memberitahu mereka bahawa berita yang disiarkan media adalah fitnah dan rekaan saja.


SEKUMPULAN pelajar sebuah kolej swasta membuat laporan polis selepas mendapat pengesahan di JPK Putrajaya berhubung status penutupan program JPK. Laporan polis di buat di Balai Polis Putrajaya dan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.

"Kami pergi sendiri ke JPK bagi mendapatkan pengesahan dan terbukti bahawa sebenarnya pihak kolej yang memfitnah media dan menipu kami.

Maka diharap pihak polis menyiasat dan membantu mengembalikan hak kami disamping melindungi daripada sebarang ugutan dan ancaman terhadap kami dan keluarga.

"Kami baru tahu rupa-rupanya ada banyak pihak yang terbabit dalam sindiket penipuan ini. Kami bimbang serta takut jika ada pembabitan gengster kerana keluarga sudah menerima ugutan," katanya.

Beliau dan rakan-rakan juga rasa terpedaya dengan pelbagai bayaran kad matrik, bayaran kepada ejen kolej dan pembayaran elaun berbeza dengan rakan-rakan kolej lain.

“Kami rasa pelik kerana tawaran Diploma kulinari dan masakan tetapi setakat ini tidak pernah belajar kulinari atau masakan, sebaliknya di industri kami bekerja di dapur serta melayan pelanggan,” katanya.

Dalam perkembangan terkini, isu berkenaan sudah mendapat perhatian, sokongan dan pemantauan oleh Majlis Keselamatan Negara dan pejabat Timbalan Perdana Menteri yang turun padang berjumpa dan memberi sokongan kepada pelajar berkenaan ketika laporan dibuat di balai berkenaan.

64 dibaca
Berita Harian X