Isnin, 10 September 2018 | 7:30am
LAPORAN BH mendedahkan lebih 20,000 ‘pakar’ kecantikan atau estetik tidak bertauliah bebas menawarkan khidmat rawatan kecantikan.

Kemasukan pakar luar undang risiko besar

KUALA LUMPUR: Kemasukan pakar estetik asing dari luar negara mengundang risiko lebih besar kepada pengguna yang kini sudah sedia terdedah kepada lebih 20,000 pengamal tidak bertauliah dalam bidang itu.

Pakar terbabit dibawa masuk biasanya dari Taiwan dan Korea oleh klinik kecantikan atau medispa tempatan sebagai daya penarik kepada pelanggan, berikutan industri berasaskan estetik di kedua-dua negara itu terkenal dan diamalkan secara meluas.

Bagaimanapun, status sama ada pengamal estetik asing itu benar-benar pakar sukar dipastikan, malah rata-rata mereka diyakini tidak memiliki Sijil Pengamalan Sementara (TCP) dikeluarkan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) seperti disyaratkan.

Pengguna mudah terjebak

Sumber berkata, pakar dari luar itu bukan saja dibayar sebagai perunding untuk meyakinkan pelanggan, tetapi turut dibenar mengendalikan prosedur, termasuk pembedahan berisiko ke atas pelanggan seperti alat kelamin, pengubahsuaian wajah, gigi serta pelbagai suntikan dan proses pembuangan lemak.

"Pengguna biasanya lebih tertarik dengan penjelasan pakar dari luar negara sehingga mudah terjebak dan akhirnya bersetuju menerima rawatan ditawarkan, apatah lagi harga ditawarkan lebih murah.

"Kita khuatir pakar dibawa masuk dari luar itu bukan berasal daripada bidang perubatan, berikutan individu bukan bertaraf doktor terlalu ramai mengamalkan prosedur kecantikan di kedua-dua negara terbabit.

"Di Korea contohnya, doktor bedah estetik jumlahnya hampir 20,000 orang, mencecah tiga kali ganda berbanding Malaysia," katanya.

BH sebelum ini mendedahkan lebih 20,000 ‘pakar’ kecantikan atau estetik tidak bertauliah bebas menawarkan khidmat rawatan kecantikan di negara ini yang dikhuatiri boleh mendedahkan pengguna kepada pelbagai komplikasi kesihatan, termasuk kanser dan maut.

Berdasarkan prosedur ditetapkan pengamal perubatan asing perlu memiliki Letter of Credentialing and Privileging (LCP) sementara dikeluarkan Kementerian Kesihatan, sebelum diberikan TCP yang dikeluarkan MPM untuk membolehkannya menjalankan prosedur perubatan estetik di negara ini.

Sementara itu, sumber sama mendedahkan kemunculan 'pakar segera' dalam bidang kecantikan dan kosmetik, yang mana status itu diperoleh hanya selepas menjalani kursus kurang seminggu di Korea.

Katanya, individu terbabit sanggup menghabiskan wang untuk menghadiri kelas khas di Korea, selain Taiwan untuk belajar cara melakukan rawatan khusus.

35 dibaca
Berita Harian X