Isnin, 10 September 2018 | 7:20am
MENTERI Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Kementerian Kesihatan tingkat penguatkuasaan, pemantauan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap perkhidmatan terapi estetik dan kosmetik bagi menangani penawaran khidmat kecantikan yang melanggar undang-undang.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pusat yang menawarkan perkhidmatan pengamal perubatan tidak bertauliah akan diambil tindakan mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

"Pemantauan dan penguatkuasaan sangat penting dan setiap kali aduan dibuat, kami ambil perhatian dan terus berikan kepada pihak bertanggungjawab untuk tindakan susulan.

"Anda bertanggungjawab ambil tahu ke mana anda pergi (dapatkan rawatan). Jangan bila sudah cacat atau berlaku apa-apa kemudaratan, baru mahu salahkan pihak lain," katanya selepas perhimpunan bulanan kementeriannya di sini, semalam.

Beliau mengulas pendedahan eksklusif BH berhubung lambakan `pakar' kecantikan tidak bertauliah yang bebas menawarkan khidmat rawatan kecantikan yang dikhuatiri boleh mendedahkan pengguna kepada pelbagai komplikasi kesihatan termasuk kanser dan maut.

Komplikasi kesihatan

Minggu lalu, BH Ahad melaporkan lebih 20,000 ‘pakar’ kecantikan atau estetik tidak bertauliah didakwa bebas menawarkan khidmat rawatan kecantikan di negara ini yang dikhuatiri mendedahkan pengguna kepada pelbagai komplikasi kesihatan, termasuk kanser dan maut.


DATUK Dr Morthy Subramanian menunjukkan foto kesan rawatan kecantikan. - NSTP/Aizuddin Saad

Pengarah Kursus Aesthetic Academy Asia, Datuk Dr Morthy Subramanian, mendedahkan hanya 200 daripada 20,000 doktor dalam bidang estetik atau rawatan kecantikan mempunyai pentauliahan 'Letter of Credentialing and Privileging' (LCP) di bawah Kementerian Kesihatan.

Dr Dzulkefly berkata, pengguna yang mendapatkan rawatan kecantikan atau estetik dari pusat kecantikan tidak bertauliah kerana ingin cantik cepat tanpa mengeluarkan belanja tinggi, berisiko menyebabkan kecacatan dan lebih teruk mengancam nyawa mereka.

Ditanya keperluan meminda sebarang akta untuk mengekang 'pakar kecantikan jadian', Dr Zulkefly berkata, tiada keperluan buat masa ini untuk meminda mana-mana akta atau peruntukan kerana ia sememangnya sudah lengkap.

"Dari sudut akta dan peruntukan, semua sudah cantik dan lengkap, saya sendiri tengok dalam amalan (akta) itu. Apa yang penting kini adalah penguatkuasaan dan pemantauan supaya mesej dapat dihantar semua yang menyalahgunakan amalan itu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, adalah sangat penting pengguna tahu premis yang benar-benar diakreditasi dan diiktiraf untuk menjalankan rawatan kesihatan.

"Apa yang penting adalah pendidikan, kesedaran serta kepekaan pengguna itu sendiri. Anda perlu pergi ke sana dengan pengetahuan yang tinggi (mengenai apa yang boleh dan apa yang tidak boleh).

"Pastikan klinik dan pengamal perubatan yang menjalankan prosedur itu berdaftar dan ada pertauliahan LCP, Kementerian Kesihatan kerana jika tiada LCP, itu adalah salah dari segi melakukan perkhidmatan estetik," katanya.

Pada sidang media sama, Pengarah Bahagian Amalan Perubatan Kementerian Kesihatan, Dr Ahmad Razid Salleh, berkata di bawah Akta Kemudahan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1948, Kementerian Kesihatan hanya mengawal perkhidmatan estetik atau kosmetik yang dijalankan oleh pengamal perubatan berdaftar.

Katanya, ada garis panduan mengenai amalan estetik untuk semua pengamal perubatan berdaftar yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan untuk mengawal prosedur yang dijalankan mereka.

"Mereka yang dikatakan 'pakar' kecantikan dan pusat kecantikan tidak dikawal di bawah Akta Kemudahan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1948.

"Ini bermakna, jika ada perkhidmatan dijalankan di pusat kecantikan menyerupai prosedur dijalankan pengamal perubatan berdaftar, tindakan boleh diambil kerana ia mengelirukan orang awam atau pesakit yang menerima rawatan," katanya.

90 dibaca
Berita Harian X