login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
 
SMS waktu solat
... kawasan lain
Isnin , 24 November 2014
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
BiPop
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Tiz & Aeril dulu malu-malu
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
rajamawar@bharian.com.my
2012/02/26

Aeril, Tiz kini pandang serius kerjaya lakonan, bukan lagi sekadar hobi

PERJALANAN hidup mereka berbeza. Tiz Zaqyah, anak tunggal dalam keluarga dan dibesarkan dalam keadaan serba mewah, manakala Aeril Zafrel pula sudah bekerja membantu keluarga di kebun dan ladang untuk mencari sesuap nasi sejak kecil lagi.
Walaupun lahir dari kelompok keluarga berbeza, ia tidak sesekali meletakkan jurang antara dua finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011. Malah, Tiz yang dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular dan Aeril adalah finalis Artis Baru Lelaki Popular mempunyai keserasian apabila digandingkan dalam filem Cinta Kura Kura arahan Nizam Zakaria.
Awalnya, Tiz hanya menceburi bidang lakonan pada 2006 sebagai hobi, bagaimanapun, anak kelahiran Kuala Lumpur itu mula jatuh cinta pada kerjaya itu apabila membintangi drama Nur Kasih, seterusnya filem Nur Kasih The Movie. Berbeza dengan Aeril, anak kelahiran Rengit, Batu Pahat, Johor itu mencuba nasib dalam bidang lakonan untuk mengubah taraf hidupnya bermula pada 2008.

Tanpa berselindung, Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Suhari, 24, mengakui: “Saya dibesarkan dalam keluarga serba kekurangan. Saya sudah diajar bekerja berat sejak sekolah rendah hingga tamat persekolahan Tingkatan 5. Saya membantu ibu bapa mengusahakan kebun kelapa sawit dan nanas pada hari tidak bersekolah, Sabtu dan Ahad.

“Kehidupan saya hanya sekitar sekolah dan kebun. Keluar dari bandar Johor pun tidak pernah ketika itu. Saya sedar saya orang susah, saya kena membantu ibu bapa untuk meringankan bebanan mereka. Saya tidak pernah ambil peduli walaupun tangan saya pecah-pecah, luka, kulit hitam dan terbakar kerana bekerja. Apa yang saya tahu ketika itu, saya mahu mencari duit untuk menyara hidup keluarga.

“Sejak kecil, saya sudah diajar untuk mencari duit sendiri jika mahukan sesuatu. Bagaimanapun, perasaan bosan mula menerjah diri apabila saya habis persekolahan. Saya bosan tinggal di kampung. Saya masih ingat ketika mahu ke Kuala Lumpur pada usia 18 tahun, saya tidak memberitahu ibu bapa, saya menghilangkan diri begitu saja. Tapi, saya menyediakan barang dapur secukupnya untuk mereka. Saya hanya menghubungi mereka ketika tiba di Kuala Lumpur.
“Bukan saya lari dari rumah. Saya tahu kalau saya beritahu mahu mencari kerja di Kuala Lumpur, sudah tentu mereka tidak mengizinkan. Macam-macam kerja yang saya lakukan termasuk menjadi promoter, jual barangan elektrik, menjual produk dan kru produksi. Dan akhirnya, saya dapat ruang mengetengahkan diri sebagai pelakon tambahan.

“Saya akui dulu saya menceburi bidang lakonan kerana duit. Saya lihat agak mudah memperoleh pendapatan lumayan apabila bergelar pelakon. Bagaimanapun, kini, pendirian saya berbeza pula. Saya tidak lagi mengejar duit seperti dulu.

“Terlalu manis apabila mengenang kehidupan silam saya. Ia boleh membuatkan saya tersenyum dan ketawa. Syukur pada Tuhan kerana memberikan kehidupan selesa buat saya, cuma satu yang diralatkan, saya tidak mampu berkongsi dengan ibu bapa. Mereka tidak sempat melihat dan berkongsi kesempurnaan hidup dengan saya. Jadi, hari ini, saya bekerja untuk diri sendiri,” katanya yang mula diketengahkan bakat lakonan menerusi drama Kisah Kaisara.

Aeril berkata ibu bapanya juga tidak sempat melihat lakonan pertamanya dalam filem Aku Tak Bodoh. Dua hari sebelum tayangan pada 2010, ibunya, Piah Munahid meninggal dunia akibat kanser payudara, manakala bapanya pula menghembuskan nafas terakhir pada 2009.

“Arwah ibu dan bapa sentiasa memberi sokongan terhadap apa yang saya lakukan. Saya terus berlakon kerana semangat mereka. Saya mahu melakukan apa yang arwah suka. Saya tahu ketika hayat, mereka bangga apabila saya keluar di kaca TV.

“Saya bernasib baik kerana selepas filem Aku Tak Bodoh, KRU Studios menawarkan saya berlakon dalam filem Cinta Kura Kura. Saya akui dulu, saya segan mahu mengakui saya seorang pelakon. Ketika itu, saya hanya membintangi beberapa drama.

“Saya berharap 2012 memberi sinar dalam kerjaya lakonan saya. Selepas filem Cinta Kura Kura, saya turut membintangi filem Tujuh Petala Cinta, Hanya Aku Cinta Kau Seorang, Budak Pailang dan 99 Kali Rindu. Saya juga bersyukur apabila semakin banyak ruang diberikan kepada saya selepas menyertai MIG Talent,” katanya yang memegang watak Adam dalam filem Cinta Kura Kura.

Menyentuh filem Cinta Kura Kura, Aeril berkata dia terasa kerdil apabila bergandingan dengan pelakon hebat seperti Tiz dan Fizz Fairuz dalam filem berkenaan. “Saya banyak bermain imaginasi dalam filem ini. Saya digambarkan mempunyai kelebihan boleh bercakap dengan kura-kura. Awalnya, memang sukar kerana saya perlu berimaginasi seolah kura-kura ini boleh berkomunikasi dengan saya. Kelakar pun ada,” katanya.

Aeril juga menjelaskan, dia masih tidak percaya apabila dipilih peminat sebagai finalis Artis Baru Lelaki Popular ABPBH 2011.

“Dalam hati terdetik, ada ke yang meminati saya? Ada ke yang mengenali saya? Dan paling penting, adakah saya layak untuk anugerah sebesar ABPBH? Bagaimanapun, saya bersyukur, mungkin ini langkah kanan. Orang cakap langkah kanan adalah rezeki. Apapun, saya berterima kasih kepada peminat yang mengundi,” ujarnya.

Tiz Zaqyah seronok jadi Nani

MENERUSI filem ke-10 terbitan KRU Studios, Cinta Kura-Kura dihasilkan dalam genre komedi romantik animasi yang akan ditayangkan bermula 1 Mac ini menerusi 70 pawagam.

Selain Tiz Zayah dan Aeril Zafrel, filem yang menampilkan elemen animasi 3D turut dibintangi, Bob AF2, Fizz Fairuz, Munir, Harun Salim Bachik, Tauke Raja Lawak dan Daus. Lebih menarik, filem kombinasi karakter animasi dan realiti itu menggunakan suara Zizan Razak, Usop Wilcha dan Fara Fauzana untuk karakter kura-kura.

Tiz berkata, dia bersimpati dengan nasib Aeril, mereka juga sering berkongsi pengalaman hidup ketika di lokasi penggambaran.

“Awalnya, kami sama-sama malu, tapi apabila sudah saling mengenali, banyak perkara yang dikongsikan bersama. Aeril tidak malu menceritakan kehidupan silamnya. Dia jujur orangnya. Kadang kala memang sedih mendengarnya, tapi itu dulu. Sekarang, kehadiran Aeril sudah dapat dibanggakan, malah apabila tersenarai dalam finalis Artis Baru Lelaki Popular ABPBH 2011 membuktikan kehadiran Aeril sebagai pendatang baru semakin diterima peminat.

“Saya bersyukur, nasib kami tidak sama. Saya, anak tunggal dalam keluarga dan tinggal di Subang Jaya sejak kecil. Saya mempunyai seorang kakak, tapi berlainan ibu, tetapi kakak saya tinggal di Singapura. Perjalanan hidup saya dan Aeril jauh berbeza, tetapi saya akui, konflik tetap ada. Saya hidup serba sederhana tapi saya bertuah kerana dibesarkan seorang diri. Saya tidak pernah memikirkan soal kerja ketika masih bersekolah,” katanya.

Tiz juga mengakui, lakonan sebagai Nani dalam filem Cinta Kura Kura lebih ringan berbanding wataknya sebelum ini yang banyak bermain emosi dan persoalan cinta.

“Saya selesa, saya banyak menjadi diri sendiri dalam filem ini walaupun ada elemen komedi. Apabila menerima skrip dari KRU Studios, saya terus berminat menerimanya. Banyak pengalaman baru yang dikutip ketika berlakon dalam filem Cinta Kura Kura.

“Saya belajar mengenai teknik imej janaan komputer (CGI), sesuatu yang baru dalam hidup saya. Bukan mudah beraksi dengan perkara yang perlu dibayangkan di depan mata sedangkan ia tidak wujud. Mulanya terasa janggal, saya tidak tahu bagaimana rupa atau reaksi kura-kura yang akan dihasilkan secara CGI. Tapi, ketika itu, diletakkan kura-kura yang sebenar,” katanya.

Mengulas mengenai ABPBH 2011, Tiz berkata dia tidak terfikir sama ada menang atau sebaliknya. “Semuanya terletak pada rezeki. Jika rezeki memihak pada saya, insya-Allah. Jika sebaliknya, saya tidak akan beralah. Saya akan cuba lagi pada masa akan datang,” katanya.

INFO: Tiz
NAMA: Tiz Zaqyah Abdul Razak
NAMA KOMERSIL: Tiz Zaqyah
USIA: 24 Tahun
ASAL: Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
MULA BERLAKON: 2006
DRAMA: Gol & Gincu, Impian Ilyana, Impian Sunsilk, Nur Kasih
TELEFILEM: Bernafas Dalam Lumpur, Seandainya Aku Siti & Puaka Topeng Putih
FILEM: Nur Kasih The Movie & Cinta Kura Kura

INFO: Aeril
NAMA SEBENAR: Suhairil Suhari
NAMA KOMERSIAL: Aeril Zafrel
TARIKH LAHIR: 2 Disember 1988
USIA: 24 tahun
ASAL: Rengit, Batu Pahat, Johor
KELUARGA: Anak keempat daripada lima beradik
DRAMA: Kisah Kaisara, Kasut Tumit Tinggi, Kita, Senja Permai, Durja Ningsun dan Klik
FILEM: Aku Tak Bodoh, Cinta Kura Kura, Tujuh Petala Cinta, Hanya Aku Cinta Kau Seorang, Budak Pailang dan 99 Kali Rindu.

Lokasi: Palm Garden Hotel, IOI Resort, Putrajaya
Terima Kasih: Penolong Pengarah Pemasaran, Farah Halim

Untuk sebarang pertanyaan mengenai iklan teks, hubungi muzainy@mediaprima.com.my untuk maklumat lanjut.

Peta Laman

Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker

Kembali ke atas