login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
 
SMS waktu solat
... kawasan lain
Sabtu , 25 Oktober 2014
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
Varsiti
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Memahami kepentingan KWSP dan Perkeso
Oleh Mohd Yahya Mohamed Ariffin
mohdyma@um.edu.my
2011/06/09

SELEPAS mendapat tawaran kerja pertama, anda perlu pastikan bahawa majikan baru itu melakukan dua perkara iaitu mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) setiap bulan.

Tindakan itu perlu kerana membabitkan kepentingan dan hak anda sebagai pekerja, manakala caruman itu adalah kewajipan majikan seperti termaktub dalam peruntukan undang-undang negara ini.
Kedua-dua instrumen itu mewajibkan majikan dan pekerja mencarum sejumlah pendapatan dan gaji masing-masing secara bulanan. Caruman bermaksud sejumlah wang yang dibayar kepada KWSP dan PERKESO, yang dikira berdasarkan gaji bulanan pekerja dan seterusnya dikreditkan ke dalam akaun kedua-dua organisasi itu.
Caruman bahagian majikan pula ialah sejumlah wang yang disumbangkan oleh majikan setanding dengan caruman bahagian pekerja untuk disimpan di KWSP bagi tujuan persaraan atau di PERKESO untuk faedah akibat kemalangan atau bencana di tempat kerja.

Caruman KWSP wajib dilakukan oleh majikan sektor awam dan swasta, manakala PERKESO hanya membabitkan majikan swasta.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Majikan diwajibkan oleh undang-undang untuk membuat caruman dalam KWSP bagi kedua-dua bahagian pekerja dan majikan pada kadar semasa mengikut Akta KWSP 1991. Kadar caruman semasa yang diwajibkan ialah 11 peratus daripada gaji pekerja, manakala 12 peratus lagi disumbangkan oleh majikan.

Sebagai pekerja, anda dan majikan atau salah satu pihak juga boleh memilih secara sukarela untuk mencarum pada kadar yang lebih tinggi daripada yang ditetapkan. Maklumat KWSP menunjukkan jumlah caruman perlu dibayar dalam nilai Ringgit Malaysia yang terdekat, dan caruman untuk bulan tertentu perlu dibayar sebelum atau pada hari ke-15 bulan itu.

Semua saraan yang dibayar kepada anda sebagai upah adalah tertakluk kepada caruman KWSP. Ini termasuk gaji, bonus, elaun, komisen, tunggakan gaji dan bayaran untuk cuti tahunan yang tidak digunakan.

Selain itu, gaji yang diterima ketika cuti bersalin, cuti belajar, separuh hari dan gaji pengarah (sebagai pekerja). Bagaimanapun, anda harus tahu bahawa bayaran seperti caj perkhidmatan, bayaran kerja lebih masa, gratuiti, yuran pengarah, faedah persaraan, bayaran sebagai gantian notis penamatan perkhidmatan, faedah pengurangan pekerja, pemberhentian sementara dan penamatan, serta sebarang elaun perjalanan atau nilai sebarang konsesi perjalanan tidak tertakluk kepada caruman KWSP.

Apabila anda bekerja buat pertama kali, adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk mendaftarkan anda sebagai ahli KWSP. Anda perlu memastikan semua butiran peribadi adalah tepat dan benar selain menurunkan cap ibu jari kanan dan kiri anda di atas borang KWSP. Anda dianggap telah berdaftar dengan agensi berkenaan sebaik saja diberikan nombor keahlian.

Jika tidak menerima sebarang maklum balas daripada KWSP atau majikan mengenai pendaftaran, anda boleh pergi ke mana-mana pejabat KWSP bagi memperoleh nombor keahlian.

Sebagai ahli KWSP, anda berpeluang untuk mendapat pelbagai manfaat selain simpanan terjamin yang akan diperoleh pada hari persaraan kelak. Ini termasuk dividen tahunan, pelepasan cukai, faedah hilang keupayaan dan faedah kematian.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di talian 03-89226000 atau mana-mana Pejabat KWSP di seluruh negara.

Pertubuhan Keselamatan Sosial

PERKESO yang ditubuhkan pada 1971 berperanan melaksana, mentadbir dan menguatkuasa Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969 dan Peraturan-peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja, 1971.

Setiap pekerja yang mencarum dalam PERKESO akan mendapat perlindungan meliputi rawatan, bayaran tunai, bekalan anggota palsu dan rawatan pemulihan. Pekerja baru seperti anda tertakluk di bawah Skim Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat yang membabitkan pekerja berusia kurang daripada 55 tahun.

Skim insurans ini memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami bencana disebabkan kemalangan atau penyakit ketika bekerja atau dalam perjalanan ke tempat kerja. Pencen Ilat pula diberi beri kepada ahli akibat keuzuran yang serius, kekal, tidak boleh atau tidak mungkin sembuh yang mengakibatkan pekerja itu tidak mampu mencari nafkah.

Skim perlindungan dan kemudahan yang disediakan itu bertujuan meringankan beban dan masalah pekerja sambil membantu menjalani kehidupan yang lebih bermakna serta masa depan yang cerah dan terjamin untuk tanggungannya jika berlaku kemalangan di tempat kerja.

Majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja dikehendaki mendaftar dan membayar caruman setiap bulan kepada PERKESO. Perlindungan itu hanya untuk pekerja warganegara Malaysia dan pemastautin tetap.

Semua pekerja yang layak perlu didaftar dan dicarumkan dengan PERKESO tanpa mengira status perkhidmatannya sama ada sementara, sambilan, percubaan, kontrak atau disahkan dalam jawatan.

Bagaimanapun, kategori pekerja yang dikecualikan daripada liputan PERKESO ialah kakitangan kerajaan, pekerja khidmat rumah, bekerja sendiri, pekerja asing dan tuan punya serta pasangan kepada syarikat persendirian atau perkongsian.

Mana-mana pekerja yang menerima gaji bulanan kurang RM3,000 diwajibkan mencarum dengan PERKESO. Pekerja bergaji melebihi RM3,000 sebulan dan belum pernah mencarum dengan PERKESO diberi pilihan sama ada bersetuju atau tidak untuk dilindungi di bawah akta itu.

Bagaimanapun, jika anda telah mencarum dengan PERKESO dan pada masa akan datang, bergaji melebihi RM3,000, anda wajib terus mencarum selaras dengan prinsip ’sekali layak terus layak’, iaitu terus dilindungi tanpa mengira jumlah gaji bulanan.

Daripada segi potongan, jika gaji anda pada tahun pertama berjumlah RM2,000 sebulan, maka potongannya sebanyak RM10.25, manakala majikan mencarum sebanyak RM35.85. Apabila gaji anda melebihi RM2,900 sebulan, sumbangan anda berjumlah RM14.75, manakala majikan sebanyak RM51.65. Walaupun jumlahnya sedikit, banyak memberi manfaat kepada peserta (pekerja).

Anda boleh mendapat maklumat lanjut mengenai skim PERKESO dengan menghubungi nombor telefon: 03-42645000 atau talian hotline: 03-42575755 atau e-mel: perkeso@perkeso.gov.my atau www.perkeso.gov.my.

Penulis ialah Ketua Jabatan dan Pensyarah Kanan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya

Hantarkan soalan anda mengenai sebarang perkara membabitkan kerjaya ke alamat e-mel bhvarsiti@bharian.com.my.

Artikel Lain

Untuk sebarang pertanyaan mengenai iklan teks, hubungi muzainy@mediaprima.com.my untuk maklumat lanjut.

Peta Laman

Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker

Kembali ke atas