login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
 
SMS waktu solat
... kawasan lain
Sabtu , 20 Disember 2014
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
BiPop
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Melakar sejarah tragedi Bukit Kepong
Oleh Syamsul Yusof

2011/09/18

23 Februari 1950, Bukit Kepong, 59 kilometer dari bandar Muar, Johor

SEBELUM beduk sempat diketuk memanggil jemaah untuk menunaikan solat Subuh sebagai pembuka tirai hari dalam penuh keberkatan, serangan gerila pengganas komunis penuh tragis bermula.

Balai Polis Bukit Kepong diserang oleh lebih kurang 200 pengganas komunis. Balai polis dikepung dari segenap arah. Pertempuran tercetus sebaik saja apabila seorang pengganas komunis dicabar dan ditembak mati oleh Konstabel Jaffar ketika sedang cuba memotong kawat duri yang mengelilingi balai polis.
Asakan serangan dari segenap sudut oleh pihak komunis bermula sejurus selepas itu. Tentangan hebat daripada anggota polis yang diketuai oleh Sarjan Jamil Mohd Shah membuatkan pertempuran lebih sengit. Mereka enggan menyerah walau berkali-kali diarah. Seorang demi seorang anggota polis gugur. Isteri-isteri anggota polis turut serta berjuang dalam tangisan bila saja mendapati suami mereka terkorban.
Gagasan polis bantuan yang bersenjatakan senapang patah dan raifal dari Kampung Jawa juga gagal membantu sepenuhnya bila mana mereka juga diserang hendap oleh pihak komunis yang ditugaskan untuk menghalang sebarang bantuan dari luar. Beberapa anggota bersama orang kampung turut terkorban.

Komunis kemudian menawan seorang isteri anggota polis; Mariam Ibrahim dan dipaksa agar merayu kepada anggota polis yang lain untuk menyerah kalah, namun rayuan itu tidak diendahkan. Kemudian Fatimah Yaaba berserta anaknya Hassan pula ditawan dan dipaksa melakukan perkara sama seperti Mariam. Namun, sekali lagi gagal, malah serangan balas semakin sengit. Mariam dicederakan dan Fatimah pula kemudian dibunuh.

Detik terakhir pertempuran adalah apabila berek kelamin dan balai polis Bukit Kepong berjaya dibakar oleh pihak komunis. Dua wanita bersama anak-anak mereka terbakar sama dalam berek kelamin manakala mereka yang cuba lari keluar dari balai polis yang terbakar ditembak mati.

Hanya selepas lima jam bertempur, balai polis berjaya ditawan dan dibakar sepenuhnya. Yang lebih menyayatkan hati adalah apabila pihak komunis turut melontar mereka yang tercedera dan mayat anggota polis yang terkorban ke dalam api. Tragedi ini telah mengorbankan 26 orang yang terdiri daripada anggota polis dan ahli keluarga anggota.
Begitulah sedikit sebanyak secara kasarnya cerita Bukit Kepong yang insya-Allah akan divisualisasikan dalam filemku yang akan datang. Cerita yang kutulis pada kolum ini hanya ringkasan dan lebih bersifat permukaan tanpa penceritaan menyeluruh dan mendalam.

Buat masa ini, dalam kesibukan membaik pulih filem “Bohsia-Jalan Kembali”, aku giat mengkaji, menyelidik dan menjiwai cerita Bukit Kepong dengan harapan agar filem ‘re-make’ ini nanti (selepas filem Bukit Kepong versi 1981 arahan Tan Sri Dr Jins Shamsudin) mampu membuka mata semua anak Malaysia dan juga dunia. Aku mahu melakar sejarah dalam sejarah.

Insya-Allah, dengan niat untuk memberi kesedaran akan peri pentingnya kita menghargai keamanan dan betapa kentalnya semangat perajurit negara sebelum ini dalam memperjuangkan ibu pertiwi, aku berharap, filem Bukit Kepong yang akan aku hasilkan nanti mampu dijadikan inspirasi nyata setiap generasi.

Doakan agar semuanya dipermudahkan. Akhir kata,Selamat Hari Malaysia dan Selamat Hari Merdeka untuk semua.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai iklan teks, hubungi muzainy@mediaprima.com.my untuk maklumat lanjut.

Peta Laman

Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker

Kembali ke atas