login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
 
SMS waktu solat
... kawasan lain
Sabtu , 01 November 2014
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
BMdua
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Kampung contoh
Oleh Azidan Nahar
azidan@bharian.com.my
2010/10/24

Kerjasama erat, aktiviti ekonomi, padang golf dan mini Kuala Lumpur tarikan Permatang Duku, Benut, Johor

DENGAR saja nama Kampung Permatang Duku, Benut di Johor, sukar membayangkan apakah keistimewaannya sehinggalah menjejakkan kaki di sana.
Tidak keterlaluan andai dikatakan perkampungan ini ibarat dalam dunianya tersendiri berikutan pelbagai elemen yang menjadikannya unik - daripada kesepakatan dan semangat ukhuwah penduduknya, kegiatan ekonomi, persekitarannya yang bersih sehinggalah kelainan fizikal yang ditonjolkannya.
Ini termasuk kewujudan mini Kuala Lumpur - replika Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur selain ada rumah penduduknya yang dilengkapi padang mini golf dan sukan itu menjadi antara yang popular di kalangan penduduknya.

Keunikan lain - blok rumah yang dinamakan mengikut Perdana Menteri Malaysia, plak Piagam Pelanggan JKKK, Sajak Desa Kampung Permatang Duku, lirik lagu perkampungan itu dan laman web sendiri (www.permatangduku.com) selain hamparan landskap kebun herba di kediaman.

Tidak ketinggalan - slogan ‘Sergep’ bermaksud pantas yang menjadi pegangan penduduk kampung itu.

Berpaksikan keistimewaan ini, tidak hairanlah Kampung Permatang Duku ini dinobatkan juara Anugerah Desa Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2010 yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.
Semua ini dicetuskan persaingan di kalangan penduduknya yang menawarkan hadiah serba sederhana, termasuk wang tunai RM100. Bukan ganjaran jadi ukuran, sebaliknya impak persaingan sihat yang dipaparkan dan seterusnya membawa berkat kepada mereka.

Kampung berkeluasan kira-kira 10 kilometer itu dibahagikan kepada tujuh blok dengan setiap blok akan bersaing sesama sendiri membentuk sebuah komuniti lengkap yang ditunjukkan menerusi landskap menarik, perusahaan kecil, aktiviti kebudayaan, persekitaran bersih dan penduduknya yang sentiasa bermuafakat serta ramah.

Ketua Kampung itu, Abd Samad Sikun, berkata persaingan sihat di kalangan penduduk itu menyaksikan mereka berlumba-lumba mengindahkan laman dan kediaman sendiri serta sekitar kampung.

“Ada yang membina padang golf mini, replika Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur serta taman herba di depan rumah dengan setiap seorang daripada mereka mahu menampilkan kelainan antara satu sama lain.

“Kami akan adakan pertandingan landskap dan keceriaan dua atau tiga kali setahun, hadiah pula sekadar wang tunai RM100 atau hamper tetapi penyertaan diterima amat menggalakkan," katanya.

Beliau berkata, apabila ada pertandingan yang pada kebiasaannya dikategorikan kepada blok dan individu, juri pertandingan tidak menang tangan melawat setiap 181 rumah sedangkan pada kebiasaannya mereka hanya boleh melawat kira-kira 15 rumah sehari.

Abd Samad berkata, ia dapat memupuk semangat permuafakatan apabila seluruh kampung berlumba-lumba menjadi yang terbaik.

Selain landskap menarik, setiap blok memiliki perusahaan sendiri seperti rempeyek, tempe, bahulu, inap desa dan ternakan ikan dengan peluang pekerjaan diberikan kepada golongan ibu tunggal bagi meneruskan kehidupan.

“Kami bahagikan kampung ini kepada tujuh blok yang mana enam daripadanya dinamakan sempena Perdana Menteri. Di sini, ada jawatankuasa sendiri yang membangunkan kawasan masing-masing mengikut kesesuaian kawasan.

“Kita juga menerima bantuan daripada setiap jabatan kerajaan tetapi untuk maju kita kena bergerak dan bukannya hanya memohon bantuan dan itulah yang dilakukan penduduk,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan dikecapi kampung berkenaan bukanlah datang secara segera kerana sejak ditubuhkan lebih 30 tahun lalu, mereka sentiasa berusaha untuk bermuafakat menerusi slogan ‘Sergep’ yang berusaha mencapai kejayaan seberapa segera.

Hasilnya, mereka menerima anugerah johan Kumpulan Pendengar, Penonton dan Pembaca (K3P) pada 2002, Anugerah Pencahayaan dan Keceriaan Kampung pada 2006 selain Desa Cemerlang 2010 yang menerima hadiah wang tunai bernilai RM225,000!

Keceriaan selaku kampung terbaik turut dikongsi Wakiman Raji, 60, yang memiliki idea menarik menghias halaman rumahnya hingga menjadi padang golf mini yang diserikan dengan taman herba.

Bekas pesara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu menggunakan pengalaman dimilikinya untuk mengubah kawasan rumahnya yang dipenuhi pokok buah-buahan kepada padang hijau dalam tempoh 20 tahun yang dianggapnya berbaloi kerana berupaya menjadi padang golf walaupun hanya selubang.

“Dulu saya bekerja sebagai ‘caddy’ dengan askar British sebelum bekerja dengan MARDI, apabila sudah bersara saya secara perlahan-lahan membentuk landskap rumah ini.

“Sekarang penduduk di sini boleh bermain golf secara percuma di sini dan saya juga menyediakan tiga set permainan ini bagi digunakan mereka yang berminat,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, rumah Wakiman turut dihias dengan indah seperti inap desa dan keluarganya turut membuat kraftangan daripada bahan terbuang yang mampu dipasarkan ke daerah berhampiran bagi mendatangkan pendapatan sampingan.

INFO
Kampung Permatang Duku, Benut


  • Namanya diilhamkan Abdul Karim yang merantau dari Pulau Kerimun, Indonesia pada tahun 1902, selepas beliau dan rakan-rakan meneroka kawasan itu dan sebatang pokok duku hutan.
  • Kawasan ini berkeluasan 10 kilometer
  • Mempunyai 181 rumah
  • Kemudahan termasuk sekolah rendah, sekolah agama, stesen minyak, balai raya, taman rekreasi
  • Antara anugerah diterima termasuk Johan Kumpulan Pendengar, Penonton dan Pembaca (K3P) pada 2002, Anugerah Pencahayaan dan Keceriaan Kampung pada 2006 selain Desa Cemerlang 2010.

  • Untuk sebarang pertanyaan mengenai iklan teks, hubungi muzainy@mediaprima.com.my untuk maklumat lanjut.

    Peta Laman

    Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
    Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker

    Kembali ke atas