login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
 
SMS waktu solat
... kawasan lain
Rabu , 03 September 2014
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
BMdua
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Inovasi MARDI
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
2010/12/05

Mesin menghasilkan kuih goyang mampu dikendalikan sendirian.
Mesin menghasilkan kuih goyang mampu dikendalikan sendirian.
Pelbagai mesin dicipta untuk bantu IKS tempatan dan berjaya tembusi pasaran global

SATE, lemang dan kuih muih tradisi seperti loyang atau dipanggil juga kuih ros dan karas sudah sebati dengan masyarakat kita. Lebih menarik, seperti sate yang mudah diperoleh, lemang dan kuih muih yang lazimnya dinikmati ketika musim perayaan juga dapat dinikmati pada bila-bila masa biarpun di luar musim perayaan.
Selain titik peluh usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), populariti makanan tradisi ini juga hasil usaha, kreativiti dan inovasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membantu usahawan mengkomersilkan produk makanan yang boleh mendatangkan pendapatan lumayan.
Malah, mesin sate MARDI misalnya yang dihasilkan pada 1970-an sudah pun menembusi pasaran Amerika Syarikat dan Australia.

Timbalan Pengarah Program Mekanisasi Pemprosesan Dan Lepas Tuai MARDI, Mohd Zainal Ismail, berkata mesin pembakar sate itu adalah antara produk istimewa dihasilkan agensi berkenaan.

“Mesin ini mampu menghasilkan sehingga 800 cucuk sate dalam sejam. Mesin ini juga sudah menjejak bumi Amerika dan Australia kerana dibeli usahawan Malaysia yang melebarkan perniagaan makanan ini di sana. Malah, MARDI sedang berurusan dengan seorang usahawan Kanada kelahiran Malaysia yang turut berminat membeli mesin ini,” katanya.

Uniknya dengan mesin sate keluaran MARDI, pengguna hanya perlu meletakkan daging atau ayam di acuan untuk dicucuk sebelum ia dibakar dalam masa lima minit dan jangan terkejut kerana produk hasil inovasi ini mampu membakar 20 cucuk sate dalam satu sesi.
“Mesin ini sebenarnya yang pertama dihasilkan MARDI. Ia bermula dengan niat membantu usahawan mengendalikan teknologi pembungkusan, kebersihan produk dan memanjangkan jangka hayat simpanan,” katanya ketika ditemui di Pusat Teknologi Makanan MARDI di Serdang.

Jelas Mohd Zainal, biarpun sudah menembusi pasaran antarabangsa, mesin itu kurang mendapat sambutan usahawan IKS berikutan harganya mencecah RM35,000 seunit.

“MARDI menyedari hakikat itu, tetapi tidak mampu menurunkan harga kerana aspek penghasilannya yang rumit,” tambahnya.

Selain itu, katanya, kejayaan mengkomersilkan kuih muih tradisional sebagai snek yang mudah diperoleh di luar musim perayaan turut memberi kesan kepada mesin ciptaan MARDI.

Bagaimanapun, sesetengahnya kurang mendapat perhatian pada awal pengenalannya seperti mesin lemang yang dicipta 20 tahun lalu, tetapi hanya kebelakangan ini mula popular berikutan permintaan yang memberangsangkan terhadap makanan tradisi itu.

“Dulu ketika MARDI memperkenalkan mesin pembentuk lemang, tidak banyak sambutan diterima. Ramai membandingkan rasa lemang asli yang tidak boleh ditandingi lemang dihasilkan mesin. Bagaimanapun, kerana permintaan lemang bukan saja pada musim perayaan, mesin ini semakin mendapat sambutan,”

Malah, katanya, mesin yang dipasarkan pada harga sekitar RM3,000 hingga RM7,000 seunit itu terus mendapat sambutan menggalakkan.

Ada dua jenis mesin pembentuk lemang dihasilkan MARDI dengan jenis pertama boleh membakar empat batang lemang serentak, manakala jenis kedua lebih banyak iaitu 12 batang.

Inovasi lain oleh MARDI termasuk mesin pembuatan kuih loyang dalam dua versi, separa automatik dan automatik yang dihasilkan pada 2008 dan masing-masing dijual pada harga RM12,000 serta RM25,000.

“Berbanding cara penyediaan lama yang agak mencabar dan mungkin menyebabkan penghasilannya juga tidak boleh digandakan, mesin kuih loyang yang dihasilkan MARDI boleh menghasilkan antara 800 hingga 1,200 keping kuih dalam masa sejam berbanding cara biasa kira-kira 150 keping sejam,” katanya.

Apa yang menarik, mesin itu membolehkan usaha pengasingan minyak menjadi mudah selain kuih loyang tidak terlalu rangup yang boleh melambatkan proses pembungkusan. Kuih yang siap digoreng diangkat menggunakan mesin penapis sebelum disejukkan untuk dibungkus.

Secara keseluruhan, untuk menghasilkan 1,200 keping kuih loyang hanya memerlukan seorang pekerja mengendalikan mesin dan pada masa masa mengendalikan kerja pembungkusan.

Dua tahun lalu, MARDI turut melancarkan mesin memproses kuih karas dan alat membentuk kuih cincin.

“Mesin kuih karas dicipta dengan tujuan sama dengan mesin kuih goyang. Bezanya mesin ini masih memerlukan tenaga manusia bagi melipat atau menggulung kuih karas yang masih panas. Kita masih lagi dalam penyelidikan untuk menghasilkan mesin kuih karas yang lengkap,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai iklan teks, hubungi muzainy@mediaprima.com.my untuk maklumat lanjut.

Peta Laman

Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker

Kembali ke atas