login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
 
SMS waktu solat
... kawasan lain
Sabtu , 25 Oktober 2014
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
Sihat
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Ikrar derma organ
Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
2011/10/16

  
  • Foto

    DUA remaja yang tertarik dengan penjelasan sukarelawan bersedia menjadi pengikrar pendermaan organ.

  • Foto

    PELAJAR dan kakitangan IKIP Training menunjukkan kad Donor sebagai bukti mereka sebagai penderma organ pada program Sihat Sepanjang Hayat di Berjaya Mega Mall kuantan.

  • Foto

    KETUA Pengurus Pusat Sumber Transplan Nasional Hospital Kuala Lumpur, Datin Lela Yasmin Mansor menunjukkan poster mengenai pendermaan organ di Kuala Lumpur.

Tak sampai 1 peratus daripada 28 juta rakyat kita sedia menderma

MEMANG mudah mencari penerima organ, namun belum tentu mereka yang mencari mahupun menunggu organ untuk ahli keluarga yang memerlukan bantuan sedemikian sanggup pula menjadi pengikrar pendermaan organ.
Justeru, sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ 2011 peringkat kebangsaan yang diadakan setiap tahun cukup relevan dalam menanam kefahaman dan kesedaran betapa mulia dan luhurnya menderma organ.
Aktiviti wajib dalam kalendar tahunan Kementerian Kesihatan kali ini masih bertemakan `1Malaysia 1Harapan: Dermalah Organ Demi kehidupan’ akan berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini dengan pelancarannya dijangka disempurnakan Menteri Kesihatan, Datuk Sri Liow Tiong Lai.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan Kesihatan kementerian berkenaan, Mohd Razif Zakaria, berkata program itu dari segi sejarahnya diilhamkan dari Eropah, namun apa yang berbeza adalah tiada hari khusus untuk menyambutnya di sana.

Berikutan itu, mulai 2010, Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ di bawah naungan Tan Sri Lee Lam Thye menjadikannya inspirasi dengan menetapkan 16 hingga 24 Oktober setiap tahun sebagai Minggu Kesedaran Pendermaan Organ kebangsaan.

“Faktor utama kita terpanggil mengadakan sambutan begini setiap tahun adalah kerana ada lebih 12,000 pesakit kegagalan buah pinggang sedang menunggu atau layak menerima pemindahan buah pinggang, manakala jumlah pesakit mengalami kegagalan fungsi buah pinggang pula lebih 20,000 orang,” jelasnya.
Apa yang menyedihkan, jumlah pengikrar pendermaan organ atau mereka yang mendaftar dan mempunyai niat menderma organ di negara ini dari 1997 hingga 2011 hanya 0.64 peratus atau 181,534 orang, tidak sampai satu peratus daripada 28 juta rakyat kita.

Dari segi bangsa, Cina menjadi penderma paling tinggi, diikuti India dan Melayu, namun kebelakangan ini jumlah pengikrar Melayu mulai meningkat terutama sejak 2009 disebabkan pembabitan secara langsung badan agama.

Pembabitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Majlis Fatwa Kebangsaan sedikit sebanyak berjaya membuka mata masyarakat Melayu terhadap kepentingan menderma organ.

“Mengikut kajian kami pada 2006, faktor utama mengapa orang ramai terutama Melayu tidak mahu mendaftar sebagai penderma organ adalah disebabkan faktor agama, selain tidak mahu jenazah terseksa dan rasa takut. Benar, kajian menunjukkan penderma paling tinggi adalah orang Cina dan penerima organ paling tinggi pula Melayu,” kata Mohd Razif.

Persoalannya, mengapa orang Melayu lebih suka menerima tetapi ada masalah untuk memberi, mungkin disebabkan ahli keluarga mendapat maklumat salah atau enggan menerima maklumat mengenai pendermaan organ.

“Kerana itu program pendermaan organ kini lebih banyak membawa pendekatan keagamaan. Kita bekerjasama dengan JAKIM mengadakan forum agama yang akan disiarkan pada 20 Oktober ini selain siaran khutbah Jumaat dari Masjid Negara secara langsung,” tambahnya.

Kempen kali ini juga memfokus kepada generasi muda 15 hingga 30 tahun, termasuk pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) berikutan data dikumpul sebelum ini menunjukkan golongan berusia 11 hingga 40 tahun adalah kumpulan penderma organ tertinggi iaitu hampir 70 peratus.

Ia akan dimeriahkan dengan Pertandingan Pidato Siswa UKM, Malam Bakat Siswa, Pertandingan Mesej Kreatif Walkathon Pendermaan Organ, Program Cetusan Rasa - Bersama Keluarga Penderma dan Penerima Organ, Bual Bicara - Kenapa Saya, Seminar Pendidikan Pendermaan Organ IPT, Bicara Hati Pendermaan Organ serta Pertandingan Penulisan Skrip (TV) Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) Pendermaan Organ 2011.

Namun, mesej lebih utama adalah nasihat kepada rakyat yang ingin berikrar sebagai penderma organ supaya memaklumkan niat mereka kepada ahli keluarga, manakala ahli keluarga pula seharusnya menerima hasrat murni itu dengan hati terbuka.

Mereka yang inginkan maklumat lanjut mengenai pendermaan organ, boleh menghubungi Pusat Sumber Transplan Negara atau mendaftar sebagai penderma organ secara online di www.agiftoflife.gov.my.


Allahyarham bantu hidupkan dua nyawa lain

“DIA pergi saat kami bergembira menerima orang baru dalam keluarga. Namun, kami reda kerana pemergiannya bukan setakat membantu seorang, sebaliknya dua nyawa yang memerlukan organ yang didermakannya...”

Demikian luah Safira Zainal, 39, kakak penderma organ berbangsa Melayu kedua negara, Allahyarham Mohd Fadli Fahimi, 12, ketika mengimbas kematian tragis adik bongsunya pada 2000.

Mohd Fadli meninggal dunia akibat cedera parah di kepala selepas terjatuh daripada kereta api ketika dalam perjalanan dari Wakaf Baru, Kota Bharu Kelantan menuju Kajang, Selangor. Dia yang baru sehari mendapat kad pengenalan, dalam perjalanan bersama ibunya untuk menziarahi Safira - kakak sulung yang baru bersalin ketika itu.

“Adik saya dipercayai terjatuh ketika kereta api membelok tiga hingga lima kilometer sebelum sampai ke stesen Bangi. Ini disebabkan semua beg pakaian dan barang ditemui berhampiran pintu tempat arwah dipercayai terjatuh,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Sewaktu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), keadaannya nazak dan akhirnya diisytiharkan mati otak dan hidupnya bergantung kepada mesin ketika itu. Pada waktu itulah, keluarga Safira didekati Ketua Pengurus Klinikal Pusat Sumber Transplan Nasional HKL, Datin Dr Lela Yasmin Mansor.

“Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul....pada tahap pengetahuan dan pendedahan kami yang cetek mengenai pendermaan organ ketika itu, Alhamdulillah, kami sekeluarga hanya mengambil masa 10 minit saja untuk memberi persetujuan mendermakan kedua-dua buah pinggang arwah.

“Memang kami tidak banyak ilmu atau arif mengenai pendermaan organ, tetapi mungkin kerana sifat semula jadi ayah dan ibu yang cukup menitikberatkan konsep sedekah, kami relakan (keputusan menyerahkan organ arwah).

“Pada masa sama, kami juga maklum dengan hadis sahih yang ada menyatakan sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat kepada manusia, menjadi urusan pendermaan organ itu mudah dilaksanakan,” kata Safira yang kini bertugas sebagai Optometris di Hospital Serdang, Selangor.

Malangnya, di sebalik kerelaan dan kemuliaan sikap yang dipamerkan, balasannya tidaklah seindah yang disangka. Keikhlasan mereka ‘dibalas’ sikap segelintir masyarakat, termasuk saudara mara yang memandang serong perbuatan mereka.

“Mentaliti masyarakat yang cetek mengenai pendermaan organ itu menyebabkan keluarga kami dipulaukan selama beberapa tahun...mereka tidak menyenangi tindakan kami mendermakan organ arwah.”

Tetapi, berpegang kepada kepercayaan konsep siapa yang mempermudahkan urusan orang lain pasti urusannya turut dipermudahkan Allah SWT, keluarga ini meneruskan hasrat itu tanpa perlu melayan pandangan orang lain.

“Kami percaya Allah SWT mendengar doa hambanya yang menderita dalam kesakitan. Kami yakin pemergian arwah adalah takdir dan suratan Ilahi. Apa yang penting, pemergian Mohd Fadhli tidak sia-sia, apabila kedua-dua buah pinggangnya sebaliknya ‘menghidupkan’ dua individu yang kini mampu menjalani kehidupan lebih baik.

“Malah kami turut berbangga apabila mengetahui semakin ramai, termasuk kaum Melayu tampil berikrar menderma organ hasil kempen dan promosi yang mencetuskan kesedaran,” katanya yang turut berkesempatan menyertai kempen promosi pendermaan organ oleh Pusat Sumber Transplan Nasional HKL.

Dan seperti diakui Safira, bukan mudah meyakinkan masyarakat menderma organ, biarpun mereka boleh menerima konsep itu.

“Sepanjang pembabitan kami dalam jelajah promosi mengenai pendermaan organ, apa yang ketara golongan remaja dan belia jelas memberikan maklum balas positif berbanding mereka berfikiran konservatif,” katanya yang juga bergelar pengikrar organ berdaftar.


INFO

Pengikrar pendermaan organ sehingga September 2011

* 181,534 orang
* 45.18 % lelaki
* 54.31 % wanita
* 0.51 % tidak diketahui

Pengikrar mengikut bangsa

* 55.29 % - Cina
* 24.25 % - India
* 17.64 % - Melayu
* 2.7 % - lain-lain
* 0.04 % - tidak diketahui

Pengikrar mengikut umur

* 55.97 %: 11-30 tahun
* 37.25 %: 21-30 tahun
* 21.54 %: 31-40 tahun
* 18.72 %: 11-20 tahun
* 13.84 %: 41-50 tahun

Untuk sebarang pertanyaan mengenai iklan teks, hubungi muzainy@mediaprima.com.my untuk maklumat lanjut.

Peta Laman

Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker

Kembali ke atas