login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
 
SMS waktu solat
... kawasan lain
Ahad , 21 September 2014
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
Kaunselor
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Godaan, lewat kahwin punca maksiat
Kongsi Rasa bersama Kak Ani
bminggu@bharian.com.my
2010/08/29

Kes buang bayi bukan hanya babitkan budak kampung malah meluas di kalangan pelajar IPT

KETIKA media elektronik dan cetak ghairah menyiarkan isu buang bayi, Kak Ani juga seperti orang lain, cuba mencari punca permasalahan itu berlaku.
Mengapa remaja mudah terjebak hubungan terlarang sehingga sanggup menggadai maruah diri? Inilah yang Kongsi Rasa mahu kupas kali ini. Apabila persoalan ini dibahas, perkara pokok mesti berkisar kepada permasalahan moral. Remaja kini tak kuat pegangan agama, mudah digoda dan semuanya bertitik tolak kepada pergaulan bebas.

Kumpulan sasar yang terbabit dalam gejala ini bukan setakat budak kampung malah berjangkit ke pusat pengajian tinggi yang sepatutnya lebih panjang akalnya.

Sedih, simpati dan geram! Begitulah perasaannya sebaik membaca berita seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi menerima hukuman denda dan penjara kerana kesalahan membuang bayinya dalam tong sampah dan ditemui dalam keadaan terbakar.

Orang kata bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Kalau tiada lelaki terbabit, dari mana benih itu datang dan ‘tertanam’ dalam rahim wanita?
Si lelaki mudah angkat kaki kerana tiada kesan tercalar pada diri mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil, pernah melahirkan rasa kesal dengan perbuatan keji dan mengecam lelaki ‘ghaib’ yang lepas bebas selepas merosakkan maruah wanita.

Inilah yang perlu wanita beringat sebelum merelakan diri dipergunakan golongan bertopengkan nafsu binatang. Jangan fikir keseronokan sedetik saja, tetapi fikirkan bala yang bakal ditanggung hasil perbuatan terkutuk itu.

Mengapa hubungan terlarang berlaku? Bagi menjawab persoalan ini, beberapa remaja memberi pendapat punca berlaku perzinaan yang membawa kepada pembuangan bayi.

Remaja pertama, H menjadikan alasan faktor menunggu terlalu lama untuk mendirikan rumah tangga menyebabkan remaja terdorong melakukan maksiat.

Menurutnya, ada jurang pendapat mengenai masa sesuai berkahwin antara golongan muda dan tua. Katanya, adalah menjadi harapan ibu bapa supaya anak mereka menghabiskan pengajian dulu baru boleh memikirkan pasal kahwin.

“Kalau dihitung masa pengajian peringkat ijazah di universiti, lelaki dan wanita hanya layak kahwin pada usia 23 tahun. Itu belum lagi dikira mereka yang kecundang dalam peperiksaan, masa mencari kerja atau ambil pengajian peringkat sarjana atau PhD.

“Kalau faktor itu diambil kira, usia untuk berkahwin akan meningkat lagi,” katanya.

H berkata, bagi golongan tua, mereka ada alasan tersendiri tidak menggalak anak masih belajar berkahwin awal. Kos perkahwinan yang tinggi, tiada pendapatan tetap juga dijadikan alasan kukuh menghalang anak kahwin cepat.

Biasanya keluarga tak akan membenarkan anak kahwin selagi tidak mempunyai pendapatan tetap untuk sara anak isteri. Bila keadaan ini terjadi, pasangan yang kurang pengetahuan agama, memilih jalan keluar dengan membuat hubungan tanpa ikatan perkahwinan sah.

Berikutan pengaruh dari luar, ada anak muda bersekedudukan dan menganggap ikatan perkahwinan tidak lagi penting.

Remaja kedua Z berpendapat, naluri manusia untuk hidup berpasangan memang sesuatu yang normal. “Apabila ada usaha melewatkan perkahwinan sedangkan nafsu gagal dibendung, ia secara tidak langsung akan membuka ruang perzinaan terutama dalam keadaan muda-mudi bebas bergaul sekarang.

“Pergaulan bebas dan perkembangan maklumat tanpa sempadan, membuka jalan kepada golongan muda terjerumus ke lembah maksiat kerana terpengaruh dengan budaya yang dibawa dari luar.

“Pengaruh tak baik mudah menular jika remaja itu tiada benteng pertahanan iaitu didikan agama,” katanya.

Selain itu ada pasangan terpaksa ketepi perkahwinan kerana dikekang kontrak kursus yang menggariskan syarat tidak membenarkan pelatih berkahwin sepanjang menjalani kursus. Z juga kesal dengan sikap golongan tua yang mengabaikan tanggungjawab menentukan jodoh anak.

Berdasarkan faktor itu ramai gadis terpaksa melalui kehidupan sendirian dan ada yang tidak kahwin sampai tua.

Bagi mereka yang bersikap terbuka, menggunakan keistimewaan yang ada pada diri untuk memikat lelaki tidak kira bujang ataupun suami orang. Akibat dorongan nafsu, mereka ini mudah terperangkap dalam hubungan terlarang.

Kak Ani cukup bimbang gejala buruk yang mungkin berlaku disebabkan wujudnya syarat dan halangan membina masjid.

Fenomena seks bebas berlaku di mana-mana di seluruh dunia. Beberapa kajian dilakukan di negara ini menunjukkan 27 peratus daripada remaja mengadakan hubungan seks luar nikah. Mengapa keadaan ini terjadi itulah yang hendak kita kongsi dengan pembaca.

Apakah remaja kini sudah tiada pegangan agama sehingga sanggup melakukan perkara yang jelas dosanya? Ke mana perginya sifat pemalu yang seharus ada kepada wanita?

Teringat Kak Ani kata-kata pengacara Imam Muda, Astro Oasis, Dzulkarnain Hamzah, ketika berceramah sempena Israk dan Mikraj di Masjid Amrul Ibnu Al-Ass, Bandar Baru Sentul, baru-baru ini:

“Ketika penumpang bersesak dalam bas mini suatu masa dulu, lelaki yang tak sengaja tersentuh akan ditempelak si gadis kerana mereka menghargai maruah diri. Keadaan ini berbeza dengan gadis sekarang yang secara terbuka menggoda lelaki dan menganggap sentuhan nafsu perkara biasa,” katanya.

Walaupun sudah melewati zaman remaja, Kak Ani ada anak gadis yang perlu diawasi dan diberi perhatian. Tidak kiralah anak lelaki atau perempuan, kita sebagai orang tua perlu mengambil berat kepada perkembangan mereka.

Rasanya tak salah kalau kita hidupkan balik budaya mencari jodoh untuk anak, bukan?

INFO

Mereka yang mahu berkongsi pendapat kisah minggu ini atau ada masalah lain yang mahu dikongsi, bolehlah menghantar e-mel ke Kolum Kongsi Rasa di bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai iklan teks, hubungi muzainy@mediaprima.com.my untuk maklumat lanjut.

Peta Laman

Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker

Kembali ke atas