login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
 
SMS waktu solat
... kawasan lain
Isnin , 20 Oktober 2014
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
BiPop
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Filem pengaruhi budaya, sosial rakyat
Oleh Noorisham

2012/02/26

pix_gal0
TIDAK diketahui tarikh sebenar filem wayang gambar diperkenalkan kepada kita. Tetapi jika mengikut perkenalan pertama 'gambar bergerak' yang dipersembahkan oleh dua beradik Lumiere di Paris, ia berlaku pada Disember 1895. Akan tetapi memandang kepada hal ada mengatakan filem mula ditapis seawal 1917 lagi, maka boleh dikatakan usia filem sudah hampir satu abad.

Apapun, filem bukan terus berada dalam bentuk yang kita dapat tontoni sekarang. Ia dikatakan bermula dengan kejayaan seorang pereka kamera dapat memancarkan gambar dipetiknya kepada kain rentang dengan gambar tidak bergerak (still). Ini mendorongnya mempertingkat keupayaan kameranya sehingga dapat memancarkan gambar boleh bergerak. Jadi istilah `movie` yang digunakan berasal dari perkataan `moving`- yakni bergerak. Kamus Oxford mengistilahkan movie sebagai `cinema` atau `film` saja.
Wayang gambar sudah bergerak tetapi masih bisu (silent pictures). Namun ia mula dipamerkan kepada umum dan menjadikannya satu bentuk hiburan baru yang tidak pernah terfikir oleh manusia pada masa itu. Fenomena ini wujud sebelum Perang Dunia Pertama. Pada zaman interim antara Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua sudah ada filem dipasarkan dari Barat.
Harus masih ada lagi golongan warga emas ingat dengan penuh nostalgia filem Charlie Chaplin, Laura And Hardy. Perlu dinyatakan untuk mengenang kembali era ‘silent film’ di Hollywood, baru-baru ini, diterbitkan sebuah filem ‘silent` berjudul The Artist dan menang Orange Bafta Awards di Perancis menerusi lakonan Jean Dujardin, mampu mengalahkan bintang handalan termasuk Brad Pitt dan George Clooney.

Apabila sudah muncul filem `bersuara` kita dapati sudah ada filem terbitan Timur Tengah ke negara ini terutama Mesir, sekali gus menyaksikan kemunculan pelakon terkenalnya seperti Mohd Abdul Wahab dan Ummi Kalthum. Mohd Abdul Wahab misalnya, terkenal dengan lagunya yang merdu. Wayang gambar Mesir yang memaparkan lakonan mereka berdua amat laris di kalangan orang Melayu pada masa itu kerana apa jua berasal dari negara Arab akan disanjung tinggi oleh mereka, apatah lagi ramai anak muda Melayu mula berpeluang ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran.

Di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, semangat Arab ini membuahkan pula budaya `berlagu` dan berqasidah. Berlagu maknanya membaca al-Quran Karim secara Taranum dan dilakukan pada majlis perkahwinan dan kenduri-kendara, terutama di luar bandar.

Pun begitu, filem Barat juga mula masuk ke negara ini. Judul seperti Cowboy - Roy Rogers, Zorro dan Tarzan tidak asing lagi pada masa itu.
Akibat dua kali berlakunya Perang Dunia, terlalu ramai orang muda berusia 18-35 tahun terkorban sehinggakan di Barat wujud situasi bilangan wanita muda jauh mengatasi lelaki. Maka itu dikatakan Barat yang dulunya juga punya moral tinggi serta mengamal puritisme, mula sedikit demi sedikit berubah corak kepada liberalisme dan memuncak kepada pergaulan bebas serta amalan seks bebas.

Keadaan demikian mempengaruhi corak hiburan termasuklah pelakon dalam hiburan melalui teater dan perfileman. Dan muncullah bintang filem yang memberi penekanan kepada simbol seks seperti Marilyn Monroe, Elizabeth Taylor, Brigitte Bardott dan Gina Lollobrigida. Pada era 1950-an dan 60-an, filem melonjakkan mereka ini sebagai simbol seks, baik dalam atau luar filem dan pementasan.

Bagi Elizabeth Taylor, kemuncak lakonannya adalah sebagai Cleopatra bergandingan dengan Richard Burton dalam filem bertajuk sama. Marilyn Monroe pula membuat persembahan ghairah dalam filem Seven-Year Itch. Bagi pelakon lelaki handalan termasuklah Richard Widkmark, Cary Grant, John Wayne dan Rock Hudson.

Disebabkan bahang Perang Dunia Kedua pada masa itu masih dirasai berdekad selepas tahun 1940-an, maka filem bercorak perang muncul dengan prolifik pada masa itu. Tajuk seperti Battle of Britain, The Longest Day, Battle of the Bulge, All Quiet on the Western Front, A Bridge Too Far, Saving Private Ryan dan Sands of Iwo Jima dianggap sebagai blockbuster hinggalah kurun ke-21.

Di Malaysia, filem Leftenan Adnan berupa satu percubaan penonjolan sejarah keberanian seorang pejuang patriotik pada masa Perang Dunia Kedua di mana tentera kita mempertahankan habis-habisan kemaraan tentera Jepun di Singapura. Kalau kita menonton filem dokumentari berjudul The Rising Sun Over Malaya yang ditayangkan di saluran History (Astro) pada 15 Februari lalu, kita dapat lihat betapa bengis dan zalimnya tentera Jepun pada masa itu di bawah pimpinan Jeneral Yamashita.

Kenapakah kita tidak meneruskan penerbitan filem sejarah mempertahankan tanah air yang boleh menyemarakkan lagi semangat patriotisme kita? Kerajaan atau syarikat GLC yang kaya raya patut diseru supaya menaja pembikinan filem seperti ini.

Sekual kepada Perang Dunia berlaku pula pertembungan dua ideologi kuasa besar yang mana bentuk demokrasi didokong NATO yang dipenghulukan Amerika Syarikat, manakala komunisme (Marxism-Leninism) menjadi hak kepunyaan Soviet Union. Maka terjadilah apa disebut Perang Dingin atau Cold War yang memperlihatkan dua pihak mengumpul ‘arsenal nuclear’ untuk dihalakan terhadap blok masing-masing.

Dalam era ini, kegiatan intip-mengintip atau risikan menjadi ramuan wajib bagi kedua-dua pihak. Gejala ini berjangkit pula kepada pembikinan filem. Timbullah siri filem James Bond (Sean Connery sebagai ikon filem risikan), The Saint (Roger Moore), Man from Uncle, CIA, FBI dan MI-5. Tetapi disebabkan pembikin filem tergolong dalam satu blok sama dari segi ideologinya, maka hampir semua penghujung filem itu memihak kepada negara blok itu saja. Pihak yang satu lagi itu digambarkan sebagai jahat serta pengacau dan sentiasa kalah!

Sebagai mencerminkan kekuatan Amerika maka terbitlah juga filem seperti The West Wing, Raids on Entebbe dan banyak lagi untuk propaganda Amerika. The West Wing misalnya cuba menonjolkan kekuatan dan kehebatan Amerika Syarikat. Selain itu, CIA turut digambarkan dalam filem dengan peranannya menghala terhadap Islam. Dari itu orang Arab/Islam turut menjadi `perencah` dalam banyak filem dan mencerminkan kononnya apa juga kejahatan serta keganasan berpunca daripada mereka ini. Gejala menyalahkan orang Islam dalam filem wujud sebelum peristiwa 11 September 2001 atau 9/11. Tetapi pasca 9/11 menyemarakkan lagi aspek Islamaphobia di Barat.

industri perfileman Hong Kong dan Hindi (Bollywood ) juga berkembang pesat. Siapa tidak kenal Bruce Lee yang mempopularkan seni pertahanan kungfu dan bintang Bollywood Amitabh Bachchan, Seri Devi, Ashwariya, Shusmita Shen dan Shah Rukh Khan.

Jika sebelum ini filem dianggap mencerminkan sedikit sebanyak landskap politik global, ada juga menggambarkan filem untuk `pertembungan pendirian`, iaitu antara seorang penerbit dan pengarah dengan yang lain seperti ditonjolkan dalam filem Schindlers` List dan Passion of Christ . Yang pertama itu sebagai meraih atau memancing simpati dunia terhadap kaum Yahudi yang terseksa oleh rejim Hitler, manakala satu lagi berupa percubaan menyalahkan kaum Yahudi yang dikatakan akibat angkara merekalah menyebabkan Jesus Christ `disalibkan`. Mengenai Nabi Isa AS, Islam berpandukan al-Quran menyatakan baginda tidak disalibkan. (Rujuk Surah An-Nisa ayat 157 atau 4:157 ). Orang dikatakan disalibkan itu sekadar menyerupai Nabi Isa AS.

Industri perfileman di negara ini bermula seawal 1930-an apabila dua syarikat penerbit ditubuhkan di Singapura, Shaw Brothers dan Cathay Film dengan disertai pelakon Melayu yang masih di peringkat amatur. Namun, dengan bimbingan orang seperti L Krishnan, Haji Mahadi dan kemudian P Ramlee, industri perfileman Tanah Melayu mula berkembang pesat dan mencapai tahap kegemilangan pada dekad 1960-an.

Filem pertama dijayakan membawa tajuk Laila Majnun diikuti banyak lagi tajuk yang mana lakonannya dipelopori bintang seperti Siti Tanjung Perak, D Harris, Haji Mahadi, Neng Yartimah, Kasma Booty, Junaidah, Siput Sarawak, S Kadarisman dan AR Tompel. Kemunculan P Ramlee menyinari lagi `alam` filem di Studio Jalan Ampas. Sebagai anak seni serba boleh, baik lakonan, arahan, muzik dan lirik, P Ramlee menjadi ikon seni perfileman dan mendominasi industri filem dalam dekad itu.

Tidak perlulah dihurai lanjut sumbangan P Ramlee ke arah kegemilangan filem Melayu. Memadailah kata-kata bahawa Seniman Agung kita ini memang tiada tandingannya. Ini dibayangkan juga dalam lagu gubahannya, Di Manakan Kucari Ganti. Cuma bezanya pada masa dulu mereka disebut `bintang filem` atau seniman tetapi sekarang artis. Kalaulah P Ramlee hidup pada zaman ini ketika peralatan penerbitan filem begitu canggih dan digital, nescaya beliau lebih hebat lagi daripada Stephen Spielberg.

Politik dunia tidak mempengaruhi genre filem Melayu secara langsung. Akan tetapi akibat Perang Dunia Kedua, kemudian pemerintahan tentera Jepun membuatkan masyarakat di rantau ini miskin, porak peranda dan tidak keruan. Ini dicerminkan dalam filem P Ramlee seperti Penarik Beca dan Ibu Mertuaku.

Ada kecenderungan untuk memfokus kepada kepatuhan akan hukum-hukum Allah (Semerah Padi) dengan merujuk Undang-Undang Laut Melaka Abad ke-15 dan pengaruh Timor Tengah (Ali Baba Bujang Lapok dan Ahmad Albab) dari segi budaya. Undang-undang Laut Melaka mencerminkan ketegasan Syariah Islam. Filem seperti ini patut ditayangkan berulang kali dilayar perak mahu pun di TV kerana selain aspek perundangan Islam ia juga khazanah seni lakonan dan budaya kita yang patut menjadi contoh kepada generasi baru.

Pendekatan banyak filem Melayu, sama ada diterbitkan Shaw Brothers ataupun Cathay-Keris sehingga tahun 1970-an boleh dianggap sebagai filem klasik Melayu yang kebanyakannya mengandungi nilai baik untuk dijadikan teladan masyarakat kini. Tak kiralah sama ada filem Melayu ini dianggap terbitan luar negara kerana ia berasal dari Singapura yang dulunya dalam Tanah Melayu. Pokoknya, pendedahan kepada umum patut ada kesinambungannya.

Kalau banyak lagu lama atau klasik sering saja boleh berkumandang di radio dan TV, mengapa tidak filem lama atau klasik juga memang boleh diabadikan sebagai warisan seni budaya untuk ditunjukkan kepada generasi sekarang?

Kalau suasana politik dunia tidak mempengaruhi genre filem Melayu bagaimana pula suasana politik tempatan. Beranikah kita menerbitkan filem berbaur politik terutama dalam keadaan sekarang, misalnya filem sindiran politik (political satire) walaupun sudah ada percubaan ke arah ini, tetapi itu setakat `siku-siku`saja. Sebabnya, mungkin tak akan ada produser berani menerbitkannya, bimbang tidak boleh ditayangkan di pawagam atau stesen TV takut hendak membelinya?

Kecanggihan peralatan dan teknik mengenai pembikinan filem wajar dieksploitasikan industri filem kita. Industri perfileman selaku sumber ekonomi secara global juga memperlihatkan kita kini sudah boleh menonton filem dalam bentuk animasi 3D dan 2D. Soalnya, bolehkah kita bayangkan bentuk wayang gambar menjelang tahun 2020 nanti?

Untuk sebarang pertanyaan mengenai iklan teks, hubungi muzainy@mediaprima.com.my untuk maklumat lanjut.

Peta Laman

Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker

Kembali ke atas