login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
 
SMS waktu solat
... kawasan lain
Jumaat , 24 Oktober 2014
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
Dekor
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Bungkusan hadiah kreatif, unik
Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my
2011/01/30

Sesuai untuk hantaran perkahwinan.
Sesuai untuk hantaran perkahwinan.
Hasil kraf sesuai untuk majlis kahwin, jamuan

LANGKAH ringkas dan mudah membungkus hadiah adalah membalutnya dengan kertas bercorak sebelum disematkan hiasan riben, manik serta bunga hiasan sebagai penyeri. Namun, alangkah baik jika pemberian tulus dari hati itu menyelitkan sedikit kelainan dengan tambahan aksesori, cara pembungkusan lebih kreatif, malah boleh pula menukarkannya menjadi sebahagian perhiasan rumah.
Shahril Suleiman, antara individu yang berbakat serta berupaya melakukannya. Dia berpendapat pembungkusan hadiah bukan sekadar membabitkan kertas dan riben, sebaliknya tampil dengan cara pembungkusan baru mengutarakan keunikan, seni kraf selain meminjamkan kreativiti serta karakter peribadi.
“Teknik pembungkusan hadiah lapuk, digantikan dengan ilham lebih menepati tema majlis serta kecenderungan individu. Bagi kanak-kanak misalnya, diusahakan unsur ceria dipercayai membantu membina minda mereka misalnya, hiasan itik, kumbang, beruang dan sebagainya.

“Ini berbeza dengan hadiah meraikan kelahiran bayi yang majoriti konsepnya menjurus kepada keperluan bayi seperti botol susu, lampin berserta pinnya, sarung tangan serta kaki dan sebagainya,” katanya yang menerima tempahan membungkus hadiah, hamper serta cenderamata.

Kata Shahril, pada mulanya, dia sering diberi kepercayaan dan menjadi pakar rujuk kawan-kawan, membungkus hadiah dan hamper untuk majlis besar namun lama-kelamaan timbul minat untuk berkongsi ilham kreatifnya itu dengan orang ramai.

“Saya seronok melihat kawan-kawan menyimpan kotak serta hadiah yang saya hias itu. Mereka mengatakan saya berbakat lalu menyarankan saya mengambil tempahan membungkus hadiah serta hamper. Sejak itu, saya mula serius melakukannya.
“Buat permulaan, saya banyak melayari internet mencari idea baru sebelum menyusuri dari satu kedai ke kedai lain yang menjual kraf bagi mengamati hiasan serta konsep pembungkusan yang mampu memikat minat ramai,” katanya yang banyak menerima tempahan untuk majlis makan malam korporat, sambutan ulang tahun selain beberapa kali diminta menyediakan hantaran perkahwinan.

Katanya, ilham muncul tidak kira waktu dan selalunya ketika meninjau barang di kedai hiasan dalaman. Bahkan, pernah ketika kalut menyiapkan tempahan, muncul idea baru menyebabkannya segera berkejar ke kedai kraf untuk mendapatkan bahan tambahan.

“Saya selalu juga dapat ilham ketika membeli-belah, maka resit pembelian menjadi mangsa memuatkan segala contengan perancangan dan senarai barang perlu dibeli,” ujarnya yang turut meminta pandangan dan pendapat rakan-rakan saat ketandusan idea.

Menyentuh bahan krafnya, Shahril tidak mengehadkan pembelian setakat kedai menjual kraf dan cenderamata semata-mata, bahkan turut menjelajah gedung menjual kelengkapan perkahwinan, alat tulis malah kedai permainan.

Selain berhasrat menampilkan pakej hadiah dan hamper unik, kata Shahril, di tempat berkenaan, pelbagai aksesori menarik serta bersesuaian konsep serta kehendak majlis boleh ditemui, apatah lagi permintaan tinggi untuk pakej pembungkusan berupaya menepati keperluan majlis khususnya dari segi tema dan warna.

“Majlis perkahwinan misalnya amat mementingkan keseragaman konsep dan warna. Lain pula halnya dengan sambutan ulang tahun yang mengusulkan tema tertentu seperti alam kayangan, perkhemahan pengakap, hikayat seribu satu malam dan sebagainya. Bahkan, di kalangan orang berada, wujud persaingan menawarkan ole-ole unik direka khusus untuk majlis berkenaan saja.

“Saya pernah diminta menyediakan acar buah dalam botol kaca cantik sebagai hadiah kenang-kenangan buat tetamu yang hadir,” katanya.

Shahril juga berusaha meneroka kaedah pembungkusan baru yang dijangka memikat hati pelanggannya. Setakat ini katanya, dia berjaya memperkenalkan beberapa rekaan menarik, antaranya, beg kertas menampilkan tangkai pewangi kereta, kotak serta bekas serba guna buat mengisi hadiah berbentuk silinder dan berciri telus pandang, kole bertulis tulisan kanji dalam beg kertas dengan motif tulisan sama, buku kulit keras diikat riben menarik dan wangian bunga kering serta pokok kaktus diolah bagai sebuah taman zen mini.

Katanya, setiap ilham kreatif itu mengenakan harga berbeza berdasarkan tahap kerumitan sesuatu reka bentuk, bilangan aksesori dan material digunakan. Namun, dia memberi jaminan pelanggan mampu mendapatkannya dengan harga serendah RM10.

“Apapun, soal bayaran boleh dirunding. Saya akan usahakan yang terbaik mengikut bajet pelanggan. Yang penting, saya dapat berkongsi bakat dan keseronokan berkreativiti menyediakan tempahan ini dengan mereka,” katanya yang boleh dihubungi menerusi e-mel shahrilsuleiman@yahoo.co.uk atau blog; http://shahril-suleiman.blogspot.com.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai iklan teks, hubungi muzainy@mediaprima.com.my untuk maklumat lanjut.

Peta Laman

Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker

Kembali ke atas