Kota Bharu: Selepas 22 tahun diperintah PAS, rakyat Kelantan diminta memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) melakukan perubahan demi kepentingan rakyat negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata BN mempunyai keupayaan menukar keadaan ‘murung’ di Kelantan akibat kegagalan PAS menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.
Katanya, BN mampu akan menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Rakyat boleh buat perbandingan. Kalau tak elok... buang, tak payah ambil BN sampai bila-bila. Ini tawaran kita pasal yang sana (PAS) sudah bagi 22 tahun mereka tak buat, masalah air tak selesai, tanah digadai, janji tidak ditunaikan.

“Kalau hendak keluar daripada keadaan murung sebegini lama, saya fikir lebih baik beri peluang kepada BN.

“Kalau lepas lima tahun (BN perintah), rakyat kata BN tak bagus, mereka boleh tukar balik... beri Perdana Menteri peluang, kita tengok ada tak beza (antara pentadbiran BN dengan PAS) dalam tempoh lima tahun.

“Kalau tidak, buang kami, tak usah percaya pada kami. Kami hendak buktikan kami boleh bantu rakyat,” katanya pada sidang media selepas perjumpaan dengan pemimpin BN Kelantan dan kumpulan strategik pertubuhan bukan kerajaan (NGO), di sini semalam.
Kedua-dua program tertutup itu adalah antara atur cara lawatan sehari beliau ke Kelantan. Hadir sama, isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tawaran itu juga bersandarkan tujuh projek besar yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak ketika lawatan ke Kelantan, baru-baru ini yang disifatkannya sebagai anjakan besar kepada rakyat.

Sehubungan itu, Muhyiddin berharap rakyat Kelantan memiliki kesedaran untuk melakukan perubahan melalui kuasa penentu sebagai pengundi.

Malah, beliau yakin Gelombang Merah yang digerakkan sejak setahun lalu sudah sampai ke akar umbi, sekali gus membangkitkan kesedaran rakyat untuk melakukan perubahan menukar kerajaan.

Ditanya mengenai kaji selidik Yayasan Ehwal Siswazah (YES) mengenai kedudukan Perdana Menteri paling popular dalam kalangan mahasiswa dan jangkaan BN menang pada PRU-13, Timbalan Perdana Menteri berkata, hasil kaji selidik itu boleh dijadikan gambaran pola pengundian negara.

Mengenai jumlah peruntukan untuk melaksanakan tujuh projek besar di Kelantan, Muhyiddin menganggarkan ia menelan belanja lebih RM3 bilion, tetapi jumlah sebenar akan diumumkan oleh Perdana Menteri.