Selasa, 10 Disember 2019 | 9:16pm
LATIHAN simulasi insiden nahas di Plaza Tol Kuantan, membabitkan sebuah lori membawa bahan kimia dan sebuah kenderaan awam. - Foto ihsan ANIH Berhad

ANIH Berhad uji kecekapan petugas

KUANTAN: Syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), ANIH Berhad, hari ini mengadakan satu latihan simulasi kemalangan di Plaza Tol Kuantan, di sini.

Latihan itu bertujuan menilai tahap kesediaan dan kecekapan kakitangan syarikat bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam menguruskan kes-kes kecemasan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT).

Ia turut mendapat kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dan agensi berkaitan lain.

Secara keseluruhan, seramai 90 petugas dari enam agensi mengambil bahagian menggerakkan operasi menyelamat pada waktu kecemasan.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman.

Latihan itu juga untuk menilai tahap keberkesanan komunikasi di antara ANIH Berhad dan semua agensi terbabit, khususnya dalam aspek penyebaran maklumat insiden kepada pengguna lebuh raya menerusi platform Twitter, Facebook dan papan tanda elektronik (VMS).

Dalam simulasi kemalangan itu, sebuah lori tangki membawa muatan bahan kimia asid hidroklorik, mengalami kerosakan sistem brek dan terbabas hingga melanggar sebuah kereta di Plaza Tol Kuantan.

Impak perlanggaran itu telah menyebabkan tangki lori berkenaan bocor dan muatan bahan kimia tumpah ke atas jalan.

Pemandu lori bersama kelindannya cedera parah, tetapi pemandu kereta hanya cedera ringan.

Berita Harian X