Selasa, 10 Disember 2019 | 12:43pm

8 remaja terperangkap di Jeti Lama Pulau Aman ditemui selamat

NIBONG TEBAL: Lapan remaja yang pergi memancing di Jeti Lama Pulau Aman, di sini, dilaporkan terperangkap hampir dua jam selepas tidak dapat keluar dari kawasan berkenaan kerana air laut pasang dalam kejadian awal pagi tadi.

Mereka kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang untuk meminta bantuan.

Jurucakap JBPM negeri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.33 pagi.

“Pemanggil memaklumkan mereka seramai lapan orang terperangkap di jeti lama pulau berkenaan dan tidak dapat keluar kerana air laut pasang.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kawan bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menemui mereka yang berusia lingkungan 20-an pada jam 2.56 pagi.

“Lapan remaja terbabit kemudian dibawa ke Jeti Batu Musang oleh bot nelayan tempatan pada jam 3.19 pagi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, operasi tamat pada jam 3.26 pagi.

Berita Harian X