Selasa, 10 Disember 2019 | 10:46am
ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Mangsa banjir di Kota Tinggi meningkat

KOTA TINGGI: Jumlah mangsa banjir di daerah ini meningkat kepada 711 orang membabitkan 180 keluarga sehingga jam 9 pagi tadi, berbanding 701 mangsa tengah malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Tinggi, berkata ia berikutan pertambahan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Seri Teratai yang mula dibuka sejak petang kelmarin.

Kata jawatankuasa berkenaan, setakat ini masih lima PPS yang dibuka di daerah ini dengan langkah bersiap-siaga diteruskan.

“Mangsa banjir di PPS Dewan Seri Teratai meningkat kepada 52 mangsa daripada 14 keluarga dari Kampung Sepak Hilir dan Kampung Sepak Hulu.

“Ia berbanding hanya 42 mangsa dari 11 keluarga terjejas petang semalam.

“Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan cuaca terus mendung dan dijangka hujan lebat hari ini, ” kata pegawai jawatankuasa bertugas dihubungi.

Sementara itu, PPS SK Taman Mawai yang baru dibuka malam tadi kekal menempatkan 20 mangsa daripada tujuh keluarga membabitkan penduduk kawasan Kampung Mawai Baru, Kampung Mawai Lama dan Kampung Haji Mohd Jambi.

PPS SK Teluk Ramunia yang dibuka sejak Jumaat lalu kekal menempatkan 46 mangsa daripada 13 keluarga manakala mangsa di PPS Kolej Vokasional Kota Tinggi juga kekal (526 mangsa daripada 133 keluarga).

PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota yang dibuka pada jam 3.30 petang kelmarin dan dikhaskan untuk menempatkan 67 mangsa daripada 13 keluarga masyarakat Rohingya juga tidak bertambah.

Semalam, beberapa kawasan di daerah ini terjejas bencana banjir berikutan hujan lebat yang melanda sejak jam 9.30 pagi semalam dan berlarutan lebih dua jam sehingga menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air sehingga setengah meter.

Beberapa laluan utama di pusat bandar dan di Kilometer 6 Jalan Kota Tinggi-Mawai, di sini juga terpaksa ditutup kepada kenderaan ringan.

Berita Harian X