Ahad, 8 Disember 2019 | 3:35pm
KETUA Menteri Melaka, Adly Zahari beramah anggota komuniti Kampung Solok Biak sempena lawatannya ke Tanjung Kling. - Foto Hassan Omar

Agensi kerajaan bantu industri produk makanan desa

MELAKA: Ketua Menteri Adly Zahari meminta agensi kerajaan membantu industri pembuatan makanan desa dengan membeli produk berkenaan untuk dihidangkan pada program formal dan tidak formal.

Katanya, produk makanan seperti nasi lemak, kuih-muih, mi dan seumpamanya yang dihasilkan anggota komuniti desa harus didapatkan agensi kerajaan untuk tujuan berkenaan, sekali gus mempromosi produk itu kepada agensi lain.

“Contohnya, kuih-muih yang sedap dan lazat di Kampung Solok Biak harus dibeli oleh agensi kerajaan jika ada program formal dan tidak formal di pejabat mereka dan dari sinilah kita boleh membantu memajukan industri pembuatan makanan desa.

“Saya akan cadangkan kepada agensi kerajaan untuk membeli kuih muih di kampung ini seperti yang saya cadangkan agar agensi kerajaan membeli kek yang dihasilkan di sebuah kampung yang saya lawati beberapa minggu lalu,” katanya ketika merasmikan tapak kabin Persatuan Penduduk Kampung Solok Biak, Tanjung Kling di sini, hari ini.

Hadir sama, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Juhari Osman dan Pegawai Daerah Melaka Tengah, Datuk Shamsul Ambia Abdul Aziz.

Kabin berkenaan akan ditempatkan di kawasan lapang yang diwakafkan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi membolehkan ahli persatuan itu bermesyuarat dan menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Adly berkata, agensi kerajaan tidak seharusnya hanya mendapatkan bahan makanan daripada syarikat tertentu yang sudah lama membekalkan makanan untuk menjayakan program atau majlis tertentu, sebaliknya harus mencuba mendapatkannya daripada persatuan penduduk yang mampu menghasilkan makanan yang tidak kurang lazatnya.

Katanya, dengan membeli produk berkenaan, anggota komuniti kampung akan mendapat pulangan yang boleh dimanfaatkan untuk persatuan mereka, selain membeli peralatan membuat bahan makanan.

Adly juga berkata, anggota komuniti harus memelihara perpaduan dengan menjadikan perbezaan fahaman politik sebagai aspek yang tidak memecah-belahkan mereka, sebaliknya bersatu padu demi kemajuan kampung.

Katanya, tidak ada kemajuan boleh dicapai tanpa perpaduan dan kerjasama erat sesama anggota komuniti kerana ia adalah tunjang kekuatan pergerakan dalam kehidupan bermasyarakat.

Berita Harian X