Jumaat, 6 Disember 2019 | 12:39pm
Pengarah Pusat Penyelidikan Danau Girang, Dr Benoit Goossens. - NSTP/Izhari Ariffin

Masuk ke sungai tingkat risiko diserang buaya

KINABATANGAN: Penduduk, khususnya di tebing sungai yang menjadi habitat buaya, perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak risiko diserang susulan konflik buaya dan manusia.

Peringatan itu diberikan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Danau Girang, Dr Benoit Goossens, yang terbabit dalam kerja penyelidikan bagi mengkaji jumlah sebenar buaya mendiami sungai utama di Sabah, termasuk Sungai Kinabatangan.

Beliau menjelaskan penduduk perlu mengelak masuk ke dalam air untuk memancing atau mandi, yang memudahkan mereka menjadi mangsa serangan buaya.

“Elakkan juga memancing dengan berdiri di tebing sungai atau terlalu hampir dengan sungai seperti mana sering dilihat dilakukan pekerja ladang kelapa sawit di sepanjang Sungai Kinabatangan.

“Penduduk perlu lebih berwaspada dan memastikan keselamatan mereka untuk mengelak serangan buaya berulang,” katanya ketika dihubungi di sini.

Dalam kejadian terbaru, seorang nelayan, Roslin Kalan, 47, meninggal dunia Ahad lalu selepas bertarung nyawa selama tiga hari akibat cedera diserang buaya ketika memeriksa pukat di Sungai Kinabatangan, di Kampung Bilit, Sukau.

Susulan kejadian itu, penduduk merayu pihak bertanggungjawab menangani segera isu serangan buaya di Sungai Kinabatangan yang didakwa semakin bertambah dan mengancam keselamatan.

Mengenai kajian populasi buaya, Goossens berkata pihaknya sudah siap menjalankan tinjauan dan kini pada peringkat menyediakan laporan akhir.

“Saya tidak boleh cakap apa-apa sekarang, kita perlu menganalisis data yang sudah dikumpul. Setakat ini, apa yang kita lihat, tidak menunjukkan peningkatan (populasi buaya),” katanya.

Kajian terakhir mengenai populasi buaya dilaksanakan di Sungai Kinabatangan pada 2002 oleh Jabatan Hidupan Liar dengan rekod menunjukkan kepadatan 1:45 buaya bagi setiap satu kilometer sungai berkenaan.

Di Sabah, buaya disenaraikan dalam Jadual 2 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dan buaya agresif boleh diburu oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah jika reptilia berkenaan dapat dikenal pasti.

Berita Harian X