Isnin, 2 Disember 2019 | 3:44pm
MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyaksikan penyerahan zakat korporat Ketua Pegawai Kewangan Malakoff Corporation Berhad, Nazarsham Mansor (kanan) kepada Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali (kiri), di Hotel Everly, Putrajaya. Turut kelihatan, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Kutipan zakat harta PPZ-MAIWP meningkat 3 peratus

PUTRAJAYA: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengutip zakat harta berjumlah RM536.687 juta antara Januari hingga November tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff, berkata jumlah kutipan itu mencapai sasaran dan meningkat sebanyak tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, bagi tempoh sama juga, PPZ-MAWIP berjaya mengutip zakat perniagaan berjumlah RM88.244 juta dengan bilangan pembayar seramai 2,249 orang.

“Bagi tahun ini, PPZ-MAWIP menyasarkan pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM147 juta daripada 3,000 syarikat,” katanya pada sidang media Majlis Zakat Korporat 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al Bakri dan Pengerusi PPZ-MAWIP, Datuk Che Mat Che Ali.

Penganjuran Majlis Zakat Korporat 2019 buat kali kedua tahun ini adalah sebagai galakan kepada syarikat korporat lain untuk membayar zakat perniagaan mereka, sekali gus membolehkan lebih ramai golongan asnaf di Wilayah Persekutuan dibantu.

Pada majlis itu, 21 syarikat menunaikan zakat perniagaan mereka.

Ahmad Shukri berkata, Majlis Zakat Korporat itu adalah penghargaan buat syarikat korporat yang membayar zakat dengan PPZ-MAIWP.

Berita Harian X