Sabtu, 30 November 2019 | 4:24pm

'Durian runtuh' penjawat awam Sarawak 18 Disember

PETRA JAYA: Pembayaran bantuan khas kewangan untuk penjawat awam Sarawak akan dibuat pada 18 Disember ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion, berkata bantuan khas kewangan dua bulan gaji atau minimum RM2,000 akan dibayar pada hari sama penjawat awam negeri menerima gaji sebelum perayaan Krismas.

“Seramai 16,000 penjawat awam negeri daripada pelbagai kategori dari pengurusan hingga profesional dan pengurusan sokongan akan menerima bantuan khas itu.

“Bagaimanapun, ia tidak termasuk kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun kerana ia bergantung kepada prerogatif ahli-ahli lembaga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penutupan Karnival Kesihatan Perkhidmatan Awam Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) lama, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata PBT dan badan berkanun akan memutuskan perkara itu dan perlu membawanya ke peringkat ahli lembaga.

“Sebab itu kita bercakap mengenai penjawat awam negeri terlebih dahulu manakala PBT dan badan berkanun boleh memutuskannya sendiri.

“Mereka boleh membawa perkara ini untuk dipertimbangkan oleh ahli lembaga mereka dan ia terpulang kepada kemampuan,” katanya.

Bantuan khas kewangan kepada penjawat awam Sarawak diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 13 November lalu.

Berita Harian X