Rabu, 20 November 2019 | 3:40pm
TIMBALAN Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Faktor luar punca isu jalur lebar di Limbang

KUALA LUMPUR: Gangguan liputan telefon dan jalur lebar mudah alih di pedalaman Sarawak dipercayai berpunca daripada faktor luar kawalan pembekal perkhidmatan telekomunikasi.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, menjelaskan masalah sedemikian tidak hanya berlaku di Sarawak atau Sabah, sebaliknya turut melanda beberapa kawasan pedalaman di Semenanjung.

Sehubungan itu, kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalin kerjasama dengan pihak berkaitan di Sarawak bagi menangani masalah terbabit, termasuk menjalankan pemantauan lanjut.

“Menerusi inisiatif peluasan liputan telefon dan jalur lebar mudah alih, beberapa penambahbaikan dilakukan SKMM seperti pembinaan menara komunikasi baharu dan menaik taraf menara komunikasi sedia ada kepada perkhidmatan sehingga 4G.

“Sehingga kini, sembilan menara komunikasi baharu siap dibina dan beroperasi di Limbang, manakala dua lagi menara baharu dalam peringkat pelaksanaan.

“Inisiatif ini adalah tambahan 32 menara yang dibangunkan secara komersial oleh penyedia perkhidmatan di Limbang, selain 25 lokasi menara sedia ada di kawasan Parlimen sama dinaik taraf kepada perkhidmatan 3G atau 4G.

“Secara amnya, liputan rangkaian di Limbang adalah memuaskan, tetapi kita akui ada gangguan dari semasa ke semasa disebabkan faktor luar,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Hasbi Habibollah (GPS-Limbang) mengenai pertimbangan kerajaan menaik taraf sistem liputan rangkaian telefon di kawasan parlimennya yang dikatakan sering berdepan masalah.

Kepada soalan tambahan Hasbi berhubung penyelesaian segera oleh kerajaan terhadap isu terbabit, Eddin berkata, ia dijangka berupaya dirungkai menerusi pelaksanaan Jalur Lebar

Pinggir Bandar (SUBB) dan Jalur Lebar Luar Bandar (RBB).

Bersandarkan dua mekanisme yang dalam peringkat pelaksanaan itu, kerajaan menyasarkan 1,744 sambungan jalur lebar berupaya dimajukan, khususnya di Limbang.

“Sekiranya pembinaan dua menara baharu komunikasi baharu dapat disiapkan, ia bakal memperuntukkan 1,612 sambungan, sekali gus menambah baik kemudahan internet di Limbang,” katanya.

Berita Harian X