Jumaat, 15 November 2019 | 6:28pm
FOTO Hiasan

3,414 notis amaran kesalahan merokok dikeluarkan di NS

SEREMBAN: Sebanyak 3,414 notis amaran dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan atas kesalahan merokok selepas melakukan pemeriksaan di 11,127 premis makan di negeri ini sejak 1 Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata dari jumlah itu, 2,969 notis amaran dikenakan terhadap pemilik dan pengusaha premis makan bagi kesalahan mengikut Peraturan 12(1)(a) dan Peraturan 12(1)(b) PPKHT 2004.

Katanya, 445 notis amaran pula dikenakan terhadap individu yang merokok di kawasan tempat makan.

“Penguatkuasaan terhadap larangan merokok di premis makan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 akan bermula sepenuhnya pada 1 Januari 2020.

“Justeru, masyarakat perlu mematuhi peraturan ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan tempat makan bebas asap rokok bagi melindungi orang ramai daripada bahaya asap rokok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Veerapan berkata penguatkuasaan aspek pendidikan akan terus dipergiatkan sehingga Disember 2019 sebelum penguatkuasaan sepenuhnya bermula tahun depan.

“Oleh itu, semua pemilik dan pengusaha tempat makan perlu bertanggungjawab memastikan premis mereka dilengkapi tanda larangan merokok yang mematuhi Peraturan 12(1)(a) PPKHT 2004 dan memastikan tiada perokok dalam premis,” katanya.

Berita Harian X