Jumaat, 8 November 2019 | 8:38pm
ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu. - NSTP/Faiz Anuar

Kerajaan Selangor digesa turunkan had harga pemilikan rumah warga asing

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor digesa mengikut langkah kerajaan Persekutuan yang menurunkan had rumah untuk pembeli warga asing bagi mengatasi lambakan hartanah tidak terjual di negeri ini.

Gesaan itu dibuat oleh Ronnie Liu (DAP-Sungai Pelek) yang menegaskan kerajaan negeri wajar menurunkan had pemilikan hartanah warga asing yang kini pada nilai RM2 juta kepada RM1 juta atau angka lebih rendah.

“Kenapa kerajaan negeri tidak membuat penyelarasan baharu harga penjualan kondominium, khususnya unit bukan milik kekal.

“Warga asing boleh membeli hartanah dengan harga yang lebih rendah di Selangor, namun ia perlu dilakukan dengan beberapa syarat tambahan.

“Kerajaan negeri perlu melihat isu perumahan yang tidak terjual dan harga rumah yang semakin melambung tinggi,” katanya ketika sesi perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Selangor adalah negeri yang meletakkan had harga RM2 juta bagi pemilikan rumah warga asing, iaitu tertinggi berbanding negeri lain.

Pada 11 Oktober lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentang Belanjawan 2020 mengumumkan kerajaan akan menurunkan had harga hartanah bangunan tinggi di kawasan bandar untuk pemilikan asing daripada RM1 juta kepada RM600,000 pada 2020.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan bekalan kondominium dan pangsapuri tidak terjual bernilai RM8.3 bilion pada suku kedua 2019.

Bagaimanapun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin, berkata kerajaan negeri boleh menentukan had harga rumah kepada pembeli asing, mengikut keperluan dan kesesuaian masing-masing.

Beliau berkata, cadangan penurunan had harga rumah untuk pembeli asing kepada RM600,000 adalah garis panduan di peringkat nasional, namun terserah kepada kerajaan negeri untuk menentukannya.

Berita Harian X