Jumaat, 1 November 2019 | 9:11pm
Gambar fail, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon (kanan) bertanya khabar kepada penduduk kampung yang dipindahkan ke Pusat Perpindahan Sementara (PPS)di Dewan Cenderawasih berikutan kawasan rumah mereka dinaiki air pada 28 Oktober lalu. - Foto Zuliaty Zulkiffli

Banjir di Pendang surut, pusat pemindahan ditutup

ALOR SETAR: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Cenderawasih, Pendang yang menempatkan 104 mangsa daripada 32 keluarga ditutup jam 6.30 petang tadi, susulan keadaan banjir yang mulai surut.

Pegawai Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Pendang, Lt (PA) Norashikin Ahmad Zawawi, berkata keputusan menutup PPS berkenaan selepas mendapati keadaan di lokasi banjir yang semakin baik dan selamat.

Katanya, Pegawai Daerah Pendang, Syed Khairul Anuar Syed Abidin turut bersetuju pusat pemindahan terbabit ditutup dan semua mangsa dibenarkan pulang pada jam 5 petang tadi.

Pada 29 Oktober lalu, hujan lebat mengakibatkan seramai 212 orang membabitkan 61 keluarga dipindahkan ke PPS di tiga daerah iaitu Kulim, Pendang dan Kubang Pasu.

Pihak berkuasa keselamatan bagaimanapun akan terus menjalankan pemantauan dan bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan sekiranya banjir kembali melanda.

Berita Harian X