Rabu, 30 Oktober 2019 | 4:18pm
Abdul Fattah (dua dari kanan) bersama Pengetua SMK Tansau yang juga pengerusi koperasi sekolah berkenaan, Siti Salmiah Samaie (dua dari kiri) pada perasmian Majlis Pengiktirafan Pencapaian Perolehan RM1 juta Koperasi SMK Tansau Berhad, di Putatan, hari ini. - NSTP/Edmund Samunting

Koperasi SMK Tansau catat perolehan lebih RM1 juta

PUTATAN: Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau, di sini, antara lapan koperasi sekolah yang berjaya mencatatkan perolehan melebihi RM1 juta.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata sebelum ini sebanyak 50 koperasi dikenal pasti berpotensi mendapat perolehan melebihi RM1 juta melalui aktiviti perniagaan masing-masing menjelang 2020.

Katanya, hasil audit akaun yang dilakukan terhadap koperasi SMK Tansau mendapati perolehan jualan mereka melebihi sasaran iaitu RM1.2 juta.

“Di Sabah, ini adalah sekolah yang pertama dan yang kelapan di seluruh negara mendapat perolehan lebih RM1 juta. Kita yakin pada tahun akan datang, lebih banyak sekolah berjaya kerana ada 42 sekolah lagi dikenal pasti berpotensi mencatatkan prestasi cemerlang itu.

“Ia berikutan sebahagian besar koperasi sekolah itu dilihat ada yang mencatatkan perolehan jualan antara RM700,000 sehingga RM800,00,” katanya selepas merasmikan Majlis Perasmian Pengiktirafan Pencapaian Perolehan RM1 juta Koperasi SMK Tansau Berhad, di sini hari ini.

Beliau juga berharap pencapaian koperasi sekolah itu akan menjadi contoh kepada sekolah lain, sekali gus dijadikan platform untuk melatih pelajar dalam bidang keusahawan.

“Ini saya kira boleh dijadikan sebagai model untuk seluruh negara kerana setakat ini kita ada lebih 2,400 koperasi sekolah dan kita jangka pada tahun ini, kita akan mencecah 2,500 sekolah menengah yang memiliki koperasi.

“Ia adalah pencapaian yang perlu kita banggakan kerana disamping itu, sekolah dapat didedahkan dengan budaya koperasi sebagai salah satu platform yang terbaik untuk melatih usahawan,” katanya.

Terdahulu, Abdul Fattah turut mencadangkan supaya kerajaan memandang serius peranan gerakan koperasi di sekolah kerana banyak kebaikan diperoleh menerusi penubuhan koperasi di sekolah.

“SMK Tansau adalah satu-satunya sekolah yang memiliki taman asuhan kanak-kanak (TASKA) sendiri dan ini sudah tentu memberi manfaat kepada guru supaya tidak lagi perlu menghantar anak ke TASKA di luar.

“Selain itu, koperasi sekolah ini juga mampu memberikan sumbangan sehingga RM40,000 kepada sekolah untuk aktiviti kokurikulum dan prasarana sekolah melalui hasil perolehan koperasi mereka.

“Jadi, banyak kebaikan diperoleh melalui gerakan koperasi ini dan saya harap pihak kerajaan melihat dengan serius peranannya kerana secara tidak langsung koperasi turut membantu kerajaan dalam menampung kos untuk sekolah,” katanya.

Berita Harian X