Jumaat, 25 Oktober 2019 | 11:37pm
Kawasan yang dinaiki air selepas hujan lebat di Kampung Jaya Setia, Kuala Selangor. - NSTP/Ihsan BOMBA

Banjir di Selangor, 34 keluarga berpindah

SHAH ALAM: Seramai 133 mangsa banjir membabitkan 34 keluarga, terpaksa berlindung di pusat pemindahan apabila beberapa kawasan sekitar Kuala Selangor dinaiki air.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof, berkata semua mereka ditempatkan di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields; Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang dan Balai Raya Jay Setia.

Beliau berkata, seramai 24 keluarga sudah dipindahkan ke pusat pemindahan Dewan MDKS Desa Coalfields sejak 23 Oktober, lagi manakala baki masing-masing lima keluarga mulai berpindah ke dua lagi pusat pemindahan hari ini.

Pusat pemindahan sementara mangsa banji di Kampung Jaya Setia. - NSTP/Ihsan BOMBA

“Smart Selangor Command Center (SSCC) akan terus memantau dan membuat tindakan susulan tentang kejadian yang berlaku.

“SSCC juga akan menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai 91 mangsa yang berpindah di Dewan MDKS Desa Coalfields terdiri daripada 20 lelaki dewasa dan 23 perempuan dewasa; masing-masing 18 kanak-kanak lelaki dan perempuan; masing-masing seorang bayi lelaki dan perempuan; seorang orang kurang upaya (OKU) lelaki dan dua warga emas lelaki dan tujuh warg emas perempuan.

Katanya, pusat pemindahan di Balai Raya Jaya Setia dibuka pada jam 10 pagi selepas rumah penduduk dinaiki air pada jam 3 pagi tadi.

Berita Harian X