Jumaat, 25 Oktober 2019 | 9:43am
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat sedang membantu memindahkan mangsa banjir berikutan banjir kilat. - Foto ihsan Bomba

94 mangsa banjir kilat di Baling

BALING: Seramai 94 mangsa membabitkan 32 keluarga di daerah ini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir kilat selepas rumah mereka dinaiki air, malam tadi.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak, berkata sehingga jam 7 pagi tadi mangsa dipindahkan ke lima pusat pemindahan iaitu Dewan Kampung Lalang (22 mangsa), Surau Kampung Baru (7), Dewan Orang Ramai Kampung Banggol Derum (21), Surau Kampung Lahar (25) dan Dewan Orang Ramai Kampung Batu 48(19).

“Hujan lebat berterusan selama lima jam sejak jam 6 petang semalam menyebabkan paras air di Rumah Pam Pulai berada di paras 50.75 meter iaitu di paras bahaya.

KEADAAN rumah yang dinaiki air berikutan banjir kilat yang melanda daerah Baling. - Foto ihsan bomba

“Mangsa mula berpindah sejak jam 12 tengah malam sehingga 7 pagi tadi,” katanya.

Shamsul Izrin berkata, ini adalah banjir kilat yang keempatmelanda daerah ini dalam tempoh sebulan.

“Hujan lebat berterusan dalam tempoh yang lama menyebabkan kawasan rendah mudah dinaiki air.

“Apabila hujan berhenti, air cepat surut dan kerana itu berlaku situasi banjir kilat berulang kali di daerah ini,” katanya.

Katanya, agensi penyelamat terpaksa meredah arus bagi menyelamat mangsa yang terperangkap dalam keadaan gelap dan hujan bagi memastikan tiada kejadian buruk berlaku.

Berita Harian X