Khamis, 24 Oktober 2019 | 7:04am
DATUK Azhar Ibrahim. - FOTO Arkib NSTP

Bekas ADUN Penaga meninggal dunia

GEORGETOWN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Datuk Azhar Ibrahim meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), kira-kira jam 8.30 malam.

Kematian Azhar, 73, disahkan Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasminya, semalam.

Difahamkan, jenazah dibawa ke kediaman anaknya di Mutiara Damansara dan dijangka dikebumikan jam 10 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara.

Pada 23 Mei 2010, Allahyarham yang juga bekas Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang mengumumkan untuk tidak mempertahankan kerusi disandangnya sejak tahun 1990.

Allahyarham Azhar pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) selain pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (kini dikenali sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai).

Bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang itu dikenali sebagai seorang yang lantang dalam menyuarakan pandangannya berhubung isu semasa dan politik.

Kelantangan itu menyebabkan Allahyarham pernah digantung daripada menghadiri persidangan DUN Pulau Pinang sebanyak dua kali, pada 2011 dan 2012.

Berita Harian X