Isnin, 14 Oktober 2019 | 7:48pm
MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun (dua dari kiri) melihat Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menandatangani plak sebagai simbolik perasmian pembukaan MRSM Arau. - Foto ihsan Istana Arau

Raja Perlis berangkat ke Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, berangkat ke Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda dan merasmikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Arau, di sini hari ini.

Dalam titah, baginda berharap pertumbuhan ekonomi negeri akan terus berkembang, lebih kukuh dan makmur seterusnya mencapai wawasan Perlis Negeri Bandaraya menjelang 2030.

“Semua institusi pengajian di negeri ini perlu memainkan peranan aktif dan kolektif supaya dapat melahirkan lebih ramai lagi intelektual dan modal insan sekali gus menjadi aset kepada pembangunan sosioekonomi negeri yang menyumbang kepada pembangunan negara.

“Ibu bapa, penjaga serta pendidik perlu menekankan aspek pendidikan yang bukan hanya membabitkan ilmu dan kemahiran semata-mata.

“Untuk menempatkan diri ke peringkat antarabangsa, pelajar perlu mempunyai pemikiran global, pemahaman dan hala tuju kehidupan yang jelas,” titah baginda pada majlis itu.

Turut berangkat, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

MRSM Arau yang menempatkan seramai 779 pelajar mula beroperasi pada 24 Julai 2017.

Berita Harian X