Khamis, 10 Oktober 2019 | 9:37pm
Pemenang meraikan kejayaan selepas menyertai pertandingan boling Pusat Pembelajaran Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Bangi di Wangsa Bowl, IOI City Mall, Putrajaya, baru-baru ini.

80 peserta meriahkan boling OUM Bangi

PUTRAJAYA: Seramai 80 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan boling Pusat Pembelajaran Universiti Terbuka Malaysia (OUM) Bangi di Wangsa Bowl, IOI City Mall, di sini, baru-baru ini.

Peserta terdiri daripada kalangan kakitangan, tutor dan pelajar OUM beraksi dalam dua permainan pada pertandingan berkenaan.

Pengarah Pusat Pembelajaran OUM Bangi, Mazuin Omar hadir merasmikan pertandingan yang antara lain bertujuan menggalakkan pelajar mengamalkan gaya hidup yang sihat menerusi pembabitan aktif dalam aktiviti sukan.

Mazuin berkata, selain menjadi acara tahunan, ia juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan interaksi di antara kakitangan, tutor dan pelajar.

"Kita juga ingin memupuk disiplin dan semangat kerjasama berpasukan melalui aktiviti kesukanan, sosial dan gaya hidup sihat.

“Tidak ketinggalan acara ini dapat menggalakkan sumbangan dan pembabitan aktif pelajar dalam program dan aktiviti Pusat Pembelajaran Bangi serta memperkenalkan OUM kepada masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, pasukan Hot Shots muncul juara pertandingan dan membawa pulang piala serta hamper.

Tempat kedua dimenangi Black Pink manakala tempat ketiga menjadi milik kumpulan Snipers.

Sementara itu, Dayang Dorna Awang Ahmad muncul pemain wanita terbaik pertandingan manakala Shaikh Mazwadinata Shaikh A Rahim meraih hadiah pemain lelaki terbaik.

Berita Harian X