Khamis, 10 Oktober 2019 | 9:02pm
EMRAN Emir Mohd Shahnaz terpilih sebagai pembahas terbaik Pertandingan Bahas Ala Parlimen Piala Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). - Foto Azhar Ramli

Tuah penyertaan pertama, Emran Emir dipilih pembahas terbaik

KUALA LUMPUR: Penyertaan kali pertama dalam pertandingan bahas tidak mengecewakan bagi Emran Emir Mohd Shahnaz, 13 apabila terpilih sebagai pembahas terbaik Pertandingan Bahas Ala Parlimen Piala Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Zon R1 Wangsa Maju bersama pasukannya itu turut dinobatkan sebagai Johan pertandingan yang julung kali dianjurkan MAIWP.

Anugerah itu membolehkan Emran Emir menerima wang tunai sebanyak RM500.

Emran Emir sendiri mengakui tidak menyangka muncul sebagai pembahas terbaik kerana menganggap dirinya masih baru dalam dunia perbahasan.

“Baru setahun saya ceburi bidang pengucapan awam ini dan masih banyak perlu belajar daripada cikgu selain rakan-rakan yang lebih berpengalaman.

“Saya tidak pernah tahu mengenai perbahasan sehinggalah terpilih selepas menghadiri uji bakat yang diadakan di sekolah,” katanya yang ditemui pemberita selepas pertandingan.

Selain bersyukur, pelajar bercita-cita peguam itu turut berterima kasih kepada guru pembimbing, Cikgu Mohd Bakri Talib selain rakan sepasukannya yang banyak membantu kerana kebanyakan mereka lebih berpengalaman serta pernah memenangi pertandingan bahas peringkat kebangsaan.

Emran Emir berkata, dia banyak berlatih di hadapan cermin untuk mengelak perasaan gemuruh bagai persediaan menghadapi pertandingan berkenaan.

Berita Harian X