Khamis, 10 Oktober 2019 | 5:44pm
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. - NSTP/Nadim Bokhari

Rawat segera jika digigit haiwan peliharaan

KUCHING: Mangsa gigitan haiwan peliharaan khususnya anjing, kucing dan monyet harus segera mendapatkan rawatan di klinik rabies di hospital terdekat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata ia langkah mudah untuk menyelamatkan nyawa akibat wabak membawa maut yang sedang menular di Sarawak itu.

Ia berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan apabila mangsa gigitan haiwan berjaya mengelak dijangkiti virus pembunuh itu selepas segera mendapat rawatan di hospital.

Wabak berkenaan yang mula dikesan di negeri ini pada Julai 2017, meragut satu lagi nyawa menjadikan 20 daripada 21 mangsa yang disahkan positif wabak itu, maut pada 19 Ogos lalu.


Mangsa gigitan haiwan peliharaan khususnya anjing, kucing dan monyet harus segera mendapatkan rawatan di klinik rabies di hospital terdekat. - Foto hiasan

“Pejabat Veterinar di Mukah mengesahkan mangsa terbaharu itu, seorang lelaki berusia 64 tahun digigit seekor daripada anjing yang diberi oleh saudaranya di Sibu.

“Kejadian itu berlaku pada 21 Mei lalu ketika mangsa memberi makan kepada anjing berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Difahamkan, walaupun dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera, mangsa enggan melakukannya kerana menganggap luka akibat gigitan anjing itu tidak serius.

“Hanya pada 6 Ogos lalu, mangsa mendapat rawatan di Hospital Bintulu namun disahkan meninggal dunia pada 19 Ogos di Unit Rawatan Rapi,” katanya.

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan, kes gigitan anjing dan kucing masih tinggi di negeri ini, dengan purata 40 hingga 60 kes sehari.

Berita Harian X