Selasa, 1 Oktober 2019 | 4:38pm
PRESIDEN Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim melancarkan pusat jualan kraftangan, Karyaneka, di Dataran Putra, Presint 1, Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Pembukaan Karyaneka di Putrajaya bantu golongan B40

PUTRAJAYA: Pembukaan pusat jualan kraftangan pertama di pusat pentadbiran kerajaan di sini, Karyaneka bukan sahaja dapat menambahkan pendapatan negara tetapi turut membantu meningkatkan taraf hidup golongan B40 di wilayah berkenaan.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata sejak pembukaan pusat jualan berkenaan pada 1 April lalu, hasil jualan yang diperoleh ialah sebanyak RM150,000.

Katanya, dalam tempoh lima bulan pembukaan pusat jualan berkenaan, jumlah jualan disifatkan sebagai cukup memberangsangkan terutamanya untuk cawangan yang baharu dibuka.

“Pembukaan Karyaneka adalah salah satu usaha untuk mempromosi serta memasarkan produk kraf tempatan dari seluruh negara termasuklah hasil kraf dari komuniti di sini.

“Kebanyakan produk yang terdapat di dalam pusat jualan itu dibuat sendiri oleh komuniti Putrajaya yang mengikuti program ‘Kraf Komuniti Ku Putrajaya’. Antara produk kraf yang dibuat oleh mereka ialah kit perjalanan, bantal leher, mainan, baju T, tote bag, dompet dan selendang.

“Sebelum ini, jika pengunjung datang ke Putrajaya mereka hanya bergambar dan melawat beberapa tempat tumpuan namun tidak ada cenderahati yang boleh dibawa balik sebagai bukti mereka sudah sampai di sini. Jadi dengan adanya Karyaneka ini, pelancong dari dalam dan luar negara kini boleh mendapatkan cenderahati istimewa dari Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan pusat jualan kraftangan, Karyaneka, di Dataran Putra, Presint 1, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Isham Ishak dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail.

Aminuddin berkata, pembukaan Karyaneka adalah inisiatif Wilayah Peduli Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui PPj dan ia turut mendapat kerjasama dari Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

“Diharapkan selepas ini lebih banyak lagi pusat jualan akan diletakkan di sini serta banyak lagi produk dapat dihasilkan oleh komuniti. Terima kasih juga kepada pihak kraftangan (Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia) dan MOTAC kerana banyak memberi tunjuk ajar kepada komuniti untuk menghasilkan produk terbabit,” katanya.

Berita Harian X