Ahad, 29 September 2019 | 5:21pm
Azaam melihat bekalan air bersih yang disalurkan di MRSM Kem Terendak, Sungai Udang. - NSTP/Rasul Azli Samad

Paip pecah: 610 pelajar MRSM Terendak terputus bekalan air

MELAKA: Penangguhan kertas Bahasa Melayu (BM) Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang dijadualkan esok ke 9 Oktober sedikit melegakan pengurusan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Terendak, di sini, yang terputus bekalan air sejak Khamis lalu.

Pemangku Pengetua MRSM Terendak, Azaam Yacob, berkata penangguhan bagi menghormati kemangkatan Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra itu, membolehkan 130 pelajar MRSM Terendak yang menduduki PT3 mendapat sedikit ruang susulan gangguan bekalan air yang menimpa sekolah berasrama penuh berkenaan.

“Bekalan air mulai terputus sejak jam 12 tengah hari, Khamis lalu, apabila paip bomba yang menghubungkan asrama Blok E pecah, sebelum ia segera dibetulkan.

“Namun, pada hari Jumaat, satu lagi saluran paip turut pecah berhampiran asrama Blok J, disusuli satu lagi saluran paip juga pecah berhampiran asrama Blok L pada hari Sabtu,” katanya ketika ditemui BH di MRSM Terendak, di sini, hari ini.

Beliau berkata, susulan terputus bekalan air, pihak sekolah MRSM Terendak segera memohon bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Terendak, sebelum dibekalkan dua lori tangki air mulai Khamis.

Namun, pihak ATM terpaksa mengambil sebuah lori tangki air bagi kegunaan mereka menyebabkan pihak sekolah tiada pilihan lain selain terpaksa menguatkuasakan pelan kecemasan dengan memberi pelepasan kepada 610 pelajar MRSM Terendak untuk pulang ke kediaman mereka sejak semalam.

“Mereka (pelajar) dibenarkan untuk pulang sejak jam semalam dan kembali ke MRSM Terendak jam 6 petang, hari ini. Mujur, kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan pelajar MRSM Terendak menetap di Melaka dan turut menumpangkan sebahagian pelajar lain.

“Setakat ini hanya 121 pelajar yang kekal menetap di MRSM Terendak, di mana kebajikan mereka tetap menjadi keutamaan kita,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Yang Dipertua Muafakat MRSM Terendak, Leftenan Kolonel Rashidi Mohamad bersama barisan EXCO Muafakat MRSM Terendak yang banyak membantu sepanjang gangguan bekalan air berkenaan.

Azaam berkata, pihaknya menjangkakan masalah gangguan bekalan air itu dapat dipulihkan petang ini selepas saluran paip lama digantikan dengan sambungan paip PVC.

Berita Harian X