Ahad, 15 September 2019 | 9:09pm
TEMUBUAL penghuni SHG, Amir (bukan nama sebenar) 19, selepas Majlis Penutup Program UMV Trust 2019 di Dewan Parameswara, Sekolah Henry Gurney (SHG), Telok Mas. NSTP/Rasul Azli Samad

'Dulu saya perompak, sekarang saya nak jadi tentera'

MELAKA: Nekad mahu melupakan kisah silam, seorang pesalah juvana berazam memohon menyertai angkatan tentera selepas selesai menjalani hukuman, bulan depan.

Amir (bukan nama sebenar), 19, menjalani pemulihan di Sekolah Henry Gurney (SHG) Telok Mas di sini, sejak tiga tahun lalu selepas ditahan kerana melakukan rompakan bersenjata berkumpulan.

Bakal dibebaskan 25 Oktober depan, anak bongsu lima beradik berasal dari Sungai Petani, Kedah itu, ingin membuka lembaran baharu sebagai perajurit yang mempertahankan negara.

Mengakui tidak sabar pulang ke kampung halaman untuk bertemu keluarga, Amir giat melengkapkan diri dengan persiapan memohon memasuki Angkatan Tentera Darat (ATM) untuk pengambilan Januari 2020.

“Saya mahu buktikan bahawa pesalah juvana mampu berubah menjadi lebih baik walaupun pernah melakukan kesilapan dalam hidup,” katanya.

Amir adalah antara 50 pelajar SHG yang dipilih mengikuti Program UMV Trust 2019 anjuran UMW Holdings Sdn Bhd di sekolah berkenaan selama dua hari, berakhir hari ini.

Hadir sama, Pengarah SHG Telok Mas, Penolong Komisioner Penjara Abdul Rahman Taib dan Ketua Jabatan UMW Training Centre Sdn Bhd Che Abdull Kadir Abdullah.

Tini, 15, yang dimasukkan ke SHG atas kesalahan memiliki barang curi berkata, program berkenaan mengajarnya membentuk keperibadian lebih tinggi.

“Aktiviti yang diadakan mengajar kami erti sabar dan disiplin tinggi, selain semangat kerja berpasukan untuk menyelesaikan sesuatu isu.

“Ini mungkin bertujuan menambahkan keyakinan kami berdepan dengan masyarakat apabila dibebaskan kelak,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berharap lebih banyak syarikat swasta melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti itu.

“Kerjasama begini amat dihargai dan berharap lebih banyak syarikat terbabit pada masa depan.

“Program komprehensif ini memberi pakej ilmu yang baik kepada pelajar dari aspek perwatakan, kepemimpinan dan kerohanian,” katanya.

Berita Harian X