Ahad, 15 September 2019 | 12:06pm
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melawat tapak pameran ketika hadir pada Majlis CENTEXS - SMA Safari 2019 di Penview Convention Centre (PCC) Kuching, semalam. - Foto L. Manimaran

Tambah menara telekomunikasi, tingkatkan kelajuan internet

KUCHING: Sebanyak 300 menara telekomunikasi akan dibina Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) di seluruh negeri tahun ini bertujuan meningkatkan kelajuan internet sedia ada.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata selepas kesemua menara itu berjaya disiapkan, 300 menara lagi akan didirikan tahun depan, juga bagi tujuan sama.

Beliau menjelaskan inisiatif itu sebahagian daripada usaha kerajaan negeri mencapai hasrat seluruh kawasan di Sarawak mendapat kemudahan internet sepenuhnya menjelang 2025.

“Pembinaan menara telekomunikasi itu antara langkah utama kita untuk meningkatkan liputan dan kelajuan capaian internet.

“Kita berharap menjelang 2025, kita akan mencapai hasrat untuk melihat semua kawasan di negeri ini mempunyai liputan internet,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) - Sara X Safari, di sini semalam.

Abang Johari berkata, ketika ini usaha sedang dilaksanakan untuk meningkatkan kelajuan internet di negeri ini kepada 5G melalui penggunaan kabel optik.

“Bila kelajuan internet kita ditingkatkan, komunikasi kita semakin cepat, sekali gus memudahkan kita melaksanakan segala yang kita rancang untuk membangunkan segala aspek untuk kemajuan negeri,” katanya.

Berita Harian X