Isnin, 9 September 2019 | 2:43pm
Promosi kecantikan sungai Kadamaian akan digiatkan lagi untuk menarik kedatangan pelancong. - Ihsan laman web Sayang Sabah

Promosi Sungai Kadamaian

KOTA KINABALU: Promosi kecantikan sungai Kadamaian akan digiatkan lagi untuk menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Presiden Pusat Pelancongan Kadamaian (KATA), Walter Kandayon, berkata persiapan sudah dilakukan sejak beberapa bulan lalu bagi memastikan tempat penginapan mencukupi, selain kebersihan tempat dan keselamatan pelancong.

Beliau berkata, KATA juga menyertai Karnival Usahawan Desa (KUD) di Kompleks Sukan Likas, untuk mempromosikan lagi produk pelancongan di kawasan Kadamaian.

“Ini antara persiapan yang sudah kami atur bagi mempromosikan kawasan pelancongan di Kadamaian, bukan saja kepada pelancong dalam negara malah juga luar negara.

“Kami juga menekankan faktor kebersihan dan keselamatan pelancong kepada pengusaha pelancongan di kawasan ini, selain beberapa pakej pelancongan sudah mula diedar. Setakat ini, memang ada sudah tempahan diterima untuk tahun depan.

“Kami juga ada jawatankuasa untuk mengurus tempahan daripada pelancong yang datang,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mengulas lanjut, Walter berkata, kira-kira 60 pengusaha pelancongan sudah berdaftar dengan KATA dan kira-kira 50 daripada lebih 70 kampung di Kadamaian sudah ada pusat pelancongan.

“Sungai produk di Kadamaian yang mendapat tarikan, malah ramai pelancong mengakui sungai di Kadamaian antara yang tercantik di Sabah. Disebabkan itu, pelancongan berasaskan sungai produk utama di kawasan ini.

“Walaupun sungai ada di tempat lain tetapi setakat ini, sungai di Kadamaian paling menonjol dan cantik,” katanya sambil menambah ada juga produk lain seperti bunga Rafflesia.

Sementara itu, Pusat Pelancongan Kadamaian di Kota Belud yang terletak kira-kira 85 kilometer dari Kota Kinabalu, mula menerima pelancong sejak lebih empat tahun lalu dan KATA turut menyasarkan lebih 150,000 kehadiran pelancong ke pusat pelancongan di Kadamaian pada tahun ini.

Kadamaian memiliki 74 kampung dengan lebih 35,000 penduduk.

Antara aktiviti riadah disediakan untuk pelancong di Kadamaian ialah meneroka hutan, mendaki bukit, arung jeram di Sungai Kadamaian, menerong burung, mencerap bintang, pelancongan pendidikan dan kebudayaan tradisi.

Pusat pelancongan luar bandar itu turut mencipta kejayaan membanggakan bagi Sabah apabila buat julung kalinya terpilih menerima Anugerah Pelancongan Berasaskan Komuniti ASEAN di Hanoi, Vietnam, baru-baru ini.

Berita Harian X