Rabu, 4 September 2019 | 3:37pm
Zakaria (tengah) mengacau bubur pada Program Muafakat Bubur Asyura Saudara Baru di Alor Setar, hari ini. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Tiada bantuan kedua kepada mangsa ribut

ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) tidak bercadang memberi bantuan kedua kepada mangsa tempias Taufan Lekima kerana sudah mengagihkan RM728,700 kepada 2,428 mangsa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakaria Othman, berkata bantuan RM300 kepada setiap keluarga mangsa diserahkan secara tunai baru-baru ini.

“Kita tidak akan beri bantuan kedua kepada mangsa ribut kerana bancian sudah dibuat berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa. Kita guna maklumat dan bancian yang dibuat Pejabat Daerah sahaja.

“Kita tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan kerana ada individu sebelum ini sanggup mencabut bumbung rumah mereka bagi mendapat bantuan sedangkan kerosakan yang dialami hanya sedikit,” katanya ketika ditemui selepas Program Muafakat Bubur Asyura Saudara Baru di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, pihaknya sedia memberi bantuan jika berlaku bencana lain kepada mangsa selepas ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai terutama golongan asnaf agar tidak terpedaya dengan kegiatan pihak tertentu yang menggunakan nama agensi itu kononnya untuk memberi bantuan.

“Kami menerima pertanyaan daripada orang ramai mengenai borang yang perlu diisi menerusi aplikasi WhatsApp oleh individu yang mengaku dari pejabat LZNK.

“Jangan mudah percaya kerana borang dari pejabat LZNK hanya boleh diperoleh daripada penolong amil di masjid seluruh negeri. Borang itu mempunyai kepala surat, logo dan nombor siri. Jika lihat borang terlalu ringkas, itu maknanya bukan dari kami,” katanya.

Berita Harian X