Ahad, 1 September 2019 | 3:35pm
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (kiri) berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1441h/2019M kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri di Stadium Negeri, Kuala Terengganu. - NSTP/Ghazali Kori

Abdul Hadi Tokoh Maal Hijrah Terengganu

KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, 72, dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Terengganu 1441H/2019M.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, pakej menunaikan umrah bernilai RM10,000, sepasang persalinan berharga RM500 serta piala dan sijil penghargaan.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenan menyampaikan anugerah itu kepada Abdul Hadi pada majlis yang berlangsung di Stadium Negeri, di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang pernah menjadi Menteri Besar Terengganu dari 1999 hingga 2004, berterima kasih atas penganugerahan tidak dijangkakannya itu.

“Terima kasih diucapkan kepada baginda yang berkenan mengurniakan anugerah ini, begitu juga kepada kerajaan negeri.

“Lebih penting lagi, anugerah ini sebenarnya untuk rakyat yang menerima dan mendukung khidmat bakti saya selama ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Sementara itu, Ahmad Safuan Nizam Kamaruddin, 31, yang mengalami masalah penglihatan pula menerima Anugerah Tokoh Orang Kurang Upaya (OKU) atas kejayaannya sebagai usahawan menawarkan perkhidmatan membuat jean berjenama ‘Raw Denim House’.

Anak jati Kampung Simpang Tiga, Jertih, Besut itu bersyukur dan menyifatkan anugerah terbabit sebagai pembakar semangat beliau untuk mengembangkan perniagaan serta membantu memperkasakan pendidikan dalam keusahawanan.

Lebih terharu, beliau berkata, perniagaan diusahakan bersama abangnya, Ahmad Syukri Kamarudin, 36, dan rakan, Muhamad Aidil Akhyar, 33, turut mendapat perhatian Sultan Mizan.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira dan bersyukur. Lebih terharu, baginda turut memaklumkan pernah membaca artikel mengenai perniagaan seluar jean yang saya usahakan,” katanya yang mengalami masalah penglihatan mata kanan kerana tercucuk gunting ketika berusia lima tahun.

Ahmad Safuan Nizam membawa pulang wang hadiah wang tunai RM3,000, piala dan sijil.

Berita Harian X