Rabu, 28 Ogos 2019 | 2:54pm
SPEAKER Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menunjukkan borang berkanun pengiytiharan harta yang perlu dilengkapkan Ahli Dewan Undangan Negeri sebelum atau pada 23 Oktober tahun ini untuk dipaparkan dalam laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. NSTP/Farah Suhaidah Othman

Keputusan semua ADUN Perak isytihar harta perlu dihormati

IPOH: Keputusan yang mensyaratkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak mengisytiharkan harta kepada Speaker DUN dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah ketetapan yang sudah diluluskan dan perlu dihormati.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, berkata apabila keputusan itu diluluskan dalam DUN, bermakna sesiapa yang melanggar undang-undang berkenaan akan menerima kesannya.

“Kuasa DUN juga yang menyebabkan surat akuan (pengisytiharan harta) dilaksanakan kerana ADUN sendiri yang membuat undang-undang dan mereka perlu akur.

“Jika mereka gagal untuk akur apa yang sudah diputuskan, mereka memberikan mesej seolah-olah undang-undang dan peraturan yang diluluskan dewan tidak boleh dipatuhi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil.

Koo Ham diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad pada sidang medianya sebelum itu yang menyatakan semua 28 ADUN pembangkang bertegas tidak akan menghantar surat akuan pengisytiharan harta kepada Speaker DUN sebaliknya hanya menyerahkan akuan berkenaan kepada SPRM sahaja.

Saarani pada sidang media itu menjelaskan, berkata ketetapan supaya borang akuan pengisytiharan harta itu perlu dihantar kepada Speaker DUN bukanlah satu peraturan DUN dan ia juga tidak termaktub dalam undang-undang.

Menjelaskan hal itu, Koo Ham berkata, mana-mana ADUN yang tidak mematuhi ketetapan untuk menyerahkan salinan akuan pengisytiharan harta itu kepada Speaker dan SPRM boleh diambil tindakan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN.

“Kalau undang-undang itu tidak dipatuhi, akan jadi huru hara. Kita mempunyai undang-undang mengenai penghinaan terhadap DUN, apa-apa keputusan DUN sebenarnya ada kuasa undang-undang dan apa yang berlaku, mereka (pembangkang) pun tahu,” katanya.

Sementara itu, Shamsun Baharin berkata, SPRM hanya menerima dan menjaga borang akuan berkenaan dan terpulang kepada semua ADUN untuk menghantar terus kepada SPRM atau melalui Speaker.

Katanya, mengikut ketetapan yang diputuskan, borang akuan berkenaan perlu diisytiharkan dua salinan dan diserahkan kepada Speaker dan kemudian diserahkan kepada SPRM.

Beliau berkata, meskipun tiada undang-undang khusus mengenai kaedah penyerahan borang itu, namun berdasarkan kod etika yang telah diguna pakai di peringkat Parlimen dan anggotanya, ia perlu melalui Yang Dipertua Dewan.

“Daripada segi pelaksanaan di peringkat Persekutuan dan negeri, salinan mestilah diserahkan kepada SPRM, selagi kita menerima salinan kita tiada masalah (mengenainya) dan sama ada ada pihak mahu memberikan salinan (borang akuan) terus kepada kita (SPRM), kita tiada isu.

“Tetapi apa yang saya tahu dan baca, kelulusan itu mesti diberi kepada Speaker dahulu, jadi sepatutnya (pembangkang) kena akur kepada keputusan yang telah dibuat sebab mereka (pembangkang) terbabit sama dalam membuat keputusan itu,” katanya.

Katanya, SPRM hanya melaksanakan apa sahaja keputusan yang sudah dibuat DUN dan sepatutnya semua keputusan yang sudah ditetapkan dihormati.

Berita Harian X