Rabu, 28 Ogos 2019 | 1:27pm
lMenteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad pada sidang media hasil siasatan insiden kemalangan lif di PPR Kerinchi, di Bilik Menyuarat, Menara DBKL 1, Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Komponen brek rosak puncak utama lif terhempas

KUALA LUMPUR: Kerosakan komponen dalam sistem brek menjadi punca utama kejadian lif terhempas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini, 2 Ogos lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata kerosakan itu dikesan hasil siasatan forensik oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Hasil siasatan JKKP, satu daripada dua komponen dikenali sebagai ‘plunger’ mengalami kerosakan dan tersekat menyebabkan sistem brek gagal berfungsi.

“Bagaimanapun, komponen lain yang terdapat dalam lif itu tidak mengalami sebarang masalah dan berfungsi dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengumumkan hasil siasatan insiden lif di PPR Kerinchi terhempas dan mengakibatkan lapan orang cedera di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.


Tinjauan orang ramai yang menggunakan lif di Blok C, PPR Kerinchi. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Yang turut hadir, Ketua Pengarah JKKP, Omar Mat Piah dan Pengarah Bahagian Forensik JKKP, Salina Tukimin.

Khalid berkata, kelajuan lif itu terhempas pada kadar 2.13 meter sesaat antara faktor menyebabkan sistem brek kecemasan lif berkenaan tidak dapat berfungsi ketika kejadian.

“Lif terbabit memiliki dua sistem brek. Satu brek mekanikal dan satu lagi brek kecemasan. Brek kecemasan hanya akan berfungsi jika lif itu terhempas pada kelajuan 2.18 meter sesaat,” katanya.

Katanya, berdasarkan rekod penyelenggaraan, lif berusia 12 tahun itu diselenggara mengikut jadual dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kes seperti ini amat jarang berlaku malah lif terbabit baru diselenggara seminggu sebelum kejadian. JKKP akan mengadakan pertemuan dengan syarikat pembuat lif terbabit bagi mendapatkan maklumat lengkap berhubung status komponen lif berkenaan.

“Kita juga akan mengkaji semula SOP dan senarai semak penyelenggaraan lif bagi mengelak kejadian sama berulang di masa hadapan,” katanya.

Dalam kejadian 2 Ogos lalu, lapan cedera apabila lif yang dinaiki terhempas dari tingkat lima, dipercayai akibat sistem brek tidak berfungsi dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang.

Sebelum kejadian, difahamkan 10 penghuni PPR itu menaiki lif berkenaan dari aras bawah dan berhenti di tingkat lima. Apabila seorang daripada mereka keluar, lif itu tiba-tiba gagal berfungsi dan terhempas.

Berita Harian X