Isnin, 26 Ogos 2019 | 8:32pm
Wan Nurin Safiyya diumumkan juara pertandingan syarahan bahasa Arab peringkat menengah rendah anjuran Kementerian Pendidikan. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman

YouTube bantu hafal 15 teks syarahan bahasa Arab

ALOR SETAR: Memanfaatkan sepenuhnya YouTube, Wan Nurin Safiyya Wan Rasna Shahman, 15, dapat menghafal dan memperbaiki sebutan sehingga diumumkan sebagai juara pertandingan syarahan bahasa Arab peringkat menengah rendah anjuran Kementerian Pendidikan di sini, hari ini.

Wan Nurin Safiyya berkata, dia mengambil masa sebulan untuk menghafal 15 tajuk teks syarahan bahasa Arab yang disediakan KPM termasuk memastikan sebutan bahasanya adalah tepat.

“Selepas habis waktu belajar, saya akan mengisi masa menghafal teks syarahan. Pada waktu malam pula selepas mengulangkaji pelajaran, saya akan membuka YouTube dan mendengar sebutan bahasa Arab yang betul dan jelas.

“Kemudian saya akan berlatih di hadapan guru untuk memastikan sebutan saya tepat. Alhamdulillah usaha saya berbaloi apabila diumumkan sebagai johan hari ini,” katanya yang juga pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Mardiah Jabo, Pasir Mas, Kelantan.

Wan Nurin Safiyya muncul sebagai Johan Kategori Kalimatus Sobah (Syarahan) Menengah Rendah pada Majlis Ihtifal Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia yang berlangsung di sini, hari ini.

Sementara itu, tiga sahabat baik yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Kota Bharu, berjaya merangkul Johan Kategori Hiwar (Perbualan) Menengah Rendah.

Siti Madiha Sofea Suhaimi, Aisyah Amalina Zaidi dan Fadliyatul Insyirah Abdul Hadi masing-masing berusia 14 tahun, mengambil masa lebih sebulan bagi menghafal 10 teks perbualan bahasa Arab yang disediakan.

Siti Madiha berkata, setiap hari mereka menghabiskan masa tiga ke empat jam bagi menghafal setiap teks yang mengandungi kira-kira 700 patah perkataan.

“Alhamdulillah, jurulatih kami Ustazah Norjarina Mat Nasir sangat membantu kami menghafal dan menyebut perkataan dalam perbualan Abahasa Arab yang tepat,” katanya

Selain itu, kategori lain yang turut dipertandingkan adalah Kuiz Bahasa Arab, Qiraat As-Sab’aah, Tahfiz al-Quran dan Kuiz Ilmu Wahyu yang dibahagikan mengikut kategori Menengah Atas dan Menengah Rendah.

Hadir bagi menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri, Datuk Dr Ismail Salleh.

Berita Harian X