Ahad, 25 Ogos 2019 | 10:51am

Perkenal produk baru pelancongan di Labuan

LABUAN: Kementerian Wilayah Persekutuan merancang memperkenalkan pelbagai produk baharu di Labuan bagi menarik lebih ramai pelancong mengunjungi pulau berkenaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020), tahun depan.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Saripuddin Kassim, berkata antara produk baharu termasuk program melawat beberapa kelong atau bagang bagi melihat proses menangkap ikan bilis pada waktu malam di pulau itu yang diberi jolokan 'Mutiara Borneo'.

Katanya, pengunjung boleh mengalami sendiri pengalaman menaikkan ikan bilis di dalam pukat dan merebus sepanjang berada di atas bagang.

"Terdapat keunikan dalam proses membuat ikan bilis berkenaan. Malah, saya sendiri teruja melihat kerdipan lampu-lampu pelantar minyak di kawasan berhampiran.

"Saya merasakan seperti duduk di dunia lain kerana terhibur dengan lampu berwarna-warni itu," katanya selepas mengetuainya program pembersihan pantai di Pulau Rusukan Besar, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman; Pengerusi Puspanita Cawangan Kementerian Wilayah Persekutuan, Datin Seri Ruzaina Wan Haniff dan Pengarang Eksekutif Komersial dan Ehwal Semasa BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Kira-kira 100 sukarelawan daripada pelbagai agensi di bawah kementerian itu antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPJ), Perbadanan Labuan (PL), Jabatan Landskap bersama penduduk kampung menyertai program mengutip sampah serta membuang rumpai laut di pulau itu.

Dalam program itu, kira-kira tiga tan rumpai laut dan botol plastik dikutip menerusi operasi selama dua hari itu yang kemudian diangkut kontraktor Perbadanan Labuan ke tapak pembuangan sampah-sarap.

Kelmarin pasukan itu juga melakukan program sama di Pantai Batu Manikar.

Saripuddin berkata, gugusan kepulauan seperti Pulau Papan, Pulau Rusukan Besar, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Kuraman memiliki pantai yang indah sekali gus mampu menarik pelancong mengunjungi tempat ini.

"Keindahan pantai dengan pasir memutih di sepanjang pantai di sekitar pulau ini perlu dipelihara untuk memastikan kawasan berkenaan sentiasa bersih bagi menarik pengunjung beriadah," katanya.

Saripuddin meminta komuniti di sini prihatin dan tidak membiarkan sampah-sarap terbiar di pantai jika mahu melihat kawasan ini cantik.

"Labuan memiliki pantai yang indah dengan pasirnya memutih, namun kelihatan kurang menarik dan agak berbau berikutan sampah-sarap di bawaan arus laut.

"Untuk menarik lebih ramai pengunjung datang ke Labuan, menjadi tanggungjawab penduduk untuk membersihkan pantai. Ini termasuk mewujudkan pasukan sukarelawan bagi tujuan berkenaan," katanya.

Beliau berharap program pembersihan ini tidak terhenti di situ, sebaliknya dapat diadakan setiap hujung minggu.

Katanya, amat penting untuk penduduk Labuan menjaga kebersihan di kawasan persekitaran menjelang sambutan TMM 2020.

Jika pantai kita tidak dibersihkan dikhuatiri Labuan akan kerugian apabila pelancong enggan datang ke sini," katanya.

Saripuddin (kanan) dan Dr Fary Akmal (bertopi) bersama komuniti Labuan dan sukarelawan Kementerian Wilayah Persekutuan sedang memasukkan sisa rumpai laut ketika program pembersihan pantai Batu Manikar, Labuan. - NSTP/Osman Lisut
Saripuddin (tiga dari kanan) bersama komuniti Labuan dan sukarelawan Kementerian Wilayah Persekutuan sedang memasukkan sisa rumpai laut ketika program pembersihan pantai Batu Manikar, Labuan. - NSTP/Osman Lisut
Berita Harian X