Jumaat, 23 Ogos 2019 | 4:14pm
SPEAKER DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham

ADUN Perak diberi tempoh 3 bulan untuk isytihar harta

IPOH: Kerajaan negeri memberi tempoh sehingga 23 Oktober ini kepada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak bagi mengisytiharkan harta seperti termaktub dalam usul yang diluluskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 pada 23 Julai lalu.

Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, berkata borang berkanun pengisytiharan harta sudah dihantar kepada semua ADUN secara pos laju pada 21 Ogos lalu untuk dilengkapkan.

Menurutnya, borang berkenaan perlu dilengkapkan dan dihantar pada atau sebelum 23 Oktober tahun ini, iaitu dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh usul itu diluluskan pada 23 Julai lalu.

“ADUN perlu menghantar dua salinan kepada Yang Dipertua Negeri iaitu kepada saya dan kemudian satu salinan akan dihantar kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya.

“Maklumat pengisytiharan harta itu akan dipaparkan dalam tempoh tiga bulan menerusi portal SPRM dan saya sudah mengatur taklimat pengisytiharan harta pada 28 Ogos ini untuk semua ADUN bersama SPRM bagi membantu mengisi borang berkenaan.

“Saya memohon semua ADUN, sama ada kerajaan mahupun pembangkang untuk mengemukakan pengisytiharan harta demi ketelusan dan ini adalah satu cara memastikan wakil rakyat telus dan tidak terbabit dalam gejala rasuah,” katanya ketika sidang media hari ini.

Koo Ham berkata, kegagalan ADUN berbuat demikian, tindakan disiplin atau tatatertib akan dilaksanakan selepas dirujuk kepada Jawatankuasa dan Kebebasan Dewan Negeri.

Berita Harian X