Khamis, 22 Ogos 2019 | 4:07pm

Polis siasat kes kibar Jalur Gemilang terbalik di Batu Pahat

BATU PAHAT: Polis mengesahkan kejadian perselisihan faham membabitkan seorang lelaki dan beberapa penghuni sebuah rumah berpunca daripada pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik, di Senggarang di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 11.10 malam dan menghantar sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, polis dapati Jalur Gemilang yang didakwa dikibarkan secara terbalik sudah diturunkan. Individu yang terbabit dalam perselisihan faham itu kemudian disuraikan secara aman.

“Berikutan rakaman video kejadian itu menjadi viral, polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana kesalahan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan selain Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rakaman video berkenaan yang memaparkan seorang lelaki memanggil penghuni sebuah rumah keluar sebelum memarahi mereka kerana mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik mula menjadi viral di laman sosial sejak tengah malam tadi.

Sementara itu, mengulas lanjut, Azhan menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan kesilapan dalam mengibarkan Jalur Gemilang selain tidak melakukan provokasi atau mengambil tindakan sendiri termasuk menjadikannya viral jika terjumpa pihak yang melakukan kesilapan sedemikian.

Berita Harian X