Sabtu, 17 Ogos 2019 | 4:55pm
Mohamad Izat Danial (kiri) menemani adik bongsunya, Nur Damia Sofea di Hospital Kuala Krai. - Foto Ramli Ibrahim
Keadaan kenderaan yang terbabit kemalangan di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, dekat Kampung Lepan Jaya. - Ihsan PDRM

Mana mama?

KUALA KRAI: “Mana mama, adik nak jumpa mama,” itulah luahan, Nur Damia Sofea Che Azmi, 7, anak bongsu daripada lima adik-beradik kepada pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, berhampiran Kampung Lepan Jaya, Gua Musang.

Dalam kemalangan kira-kira jam 4.10 pagi semalam menyebabkan ayahnya, Che Azmi Che Hamzah, 48, dan ibu, Nor Hayati Mohamed, 43, yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) maut selepas terbabit kemalangan dengan van yang dipandu, Zulfaizan Muhammad, 43, yang turut maut.

Nur Damia yang baharu sedar dari koma menerima rawatan di Hospital Kuala Krai bertanyakan soalan itu kepada abang sulungnya, Mohamad Izat Danial, 23.

Dua lagi anak mangsa, Mohamad Faris Faisal, 15 dan Mohamad Afiz Zulhilmi, 13, yang cedera di kaki kiri dan stabil menerima rawatan di hospital sama.

Mohamad Izat berkata, dua adiknya Mohamad Faris Faisal dan Mohd Afiz Zulhilmi sudah mengetahui kedua-dua ibu bapa meninggal dunia dalam kemalangan itu.

“Namun, adik bongsu belum tahu kerana ketika kejadian dia tidak sedar diri berikutan kecederaan di muka.

“Saya sedih mendengar pertanyaan itu, tetapi sebagai abang sulung saya perlu tabah dan kuat demi adik-adik,” katanya ketika ditemui di hospital, di sini, hari ini.

Mohamad Izat berkata, dia bersama-sama adiknya, Mohamad Syakir Aiman, 18, akan menunggu tiga adik yang cedera sehingga mereka sembuh.

Katanya, ahli keluarga yang lain termasuk bapa saudara dan sepupu juga turut membantu bagi menemaninya ketika berada di hospital.

“Kami juga menasihatkan dua adik yang cedera supaya lupakan tragedi kemalangan itu bagi mengelakkan mereka mengalami tekanan.

“Lagipun, mereka sudah tahu kami dah jadi yatim piatu. Ini dugaan terlalu besar untuk dihadapi memandangkan saya masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),” katanya.

Dia berkata, ada juga masanya dia menitis air mata mengenangkan nasib masa depan tetapi perkara itu tidak perlu difikirkan ketika ini.

“Yang lebih penting tiga adik yang cedera itu kembali sihat dan saya juga boleh meneruskan pengajian di UIAM,” katanya.

8693 dibaca
Berita Harian X