Rabu, 14 Ogos 2019 | 9:55pm
Antara rumah penduduk yang dinaiki air selepas banjir kilat melanda Kampung Teluk Yu, Langkawi. - Ihsan APM
Anggota APM Langkawi menyelamatkan seorang kanak-kanak yang terperangkap dalam arus deras akibat banjir kilat di Kampung Teluk Yu, Langkawi. - Ihsan APM

Tiga kampung di Langkawi ditenggelami banjir kilat

LANGKAWI: Sekurang-kurangnya tiga kampung di pulau peranginan ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak jam 5 petang tadi.

Beberapa rumah penduduk di Kampung Teluk Yu, Yooi dan Nyiur Chabang ditenggelami air sehingga mencecah paras 0.3 meter.

Pegawai Operasi Bencana dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi, Leftenan Azamshah Apearal, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 5.20 petang anggota dikerahkan ke lokasi kejadiam untuk menyalurkan bantuan.

“Tiga pegawai bersama 12 anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan pemantauan dan operasi pemindahan.

“Di Jalan Teluk Yu, anggota kita membantu menyelamatkan seorang kanak-kanak dan neneknya yang terperangkap dalam arus deras,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Azamshah berkata, sehingga jam 7 malam tadi, pihaknya masih meneruskan pemantauan paras air di Kampung Yooi dan Nyiur Chabang dan bersedia membantu penduduk yang terjejas akibat banjir.

Beliau berkata, tiada pusat pemindahan banjir dibuka dan keadaan paras air mula surut selepas hujan berhenti kira-kira jam 7.30 malam.

“Kita belum kenal pasti punca sebenar banjir kilat ini berlaku, namun berkemungkinan besar sebab hujan terlalu lebat,” katanya.

Berita Harian X