Rabu, 14 Ogos 2019 | 7:50pm
MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melepaskan peserta konvoi Jalur Gemilang sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 peringkat negeri di Wisma Darul Iman. - Foto Rozainah Zakaria

Elak perbalahan yang boleh gugat perpaduan kaum

KUALA TERENGGANU: Rakyat Malaysia harus memahami konteks sebenar Rukun Negara, seterusnya mendokong Perlembagaan Persekutuan bagi mengelak perbalahan kaum yang boleh mengugat perpaduan nasional.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata cukup mendukacitakan selepas selepas 62 tahun merdeka, berlaku banyak insiden sebelum ini yang menyentuh sensitiviti hubungan antara kaum, seterusnya boleh menjejaskan keharmonian negara jika terus dibiarkan.

Katanya, kepincangan dalam masyarakat akan terus berlaku apabila ada dalam kalangan rakyat yang tidak memandang pentingnya soal perpaduan, perhubungan kaum dan isu bahasa.

“Bila sesuatu kaum dihimpit dalam sudut tertentu, akan berlaku reaksi dan tindak balas yang tidak akan berkesudahan. Rakyat harus terima hakikat, perpaduan yang menjadikan hubungan kaum itu harmoni. Apabila sesuatu kaum dihimpit, tentunya akan menimbulkan reaksi.

“Jadi, mana-mana pihak tidak boleh memberi tekanan sehingga menimbulkan rasa ancaman. Jika umat Islam diikat pada al-Quran dan Sunnah, bagi sesebuah negara pula diikat pada Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan. Malah, dalam konteks semasa juga, untuk mengukuhkan dan menyatukan rakyat, bahasa kebangsaan harus diikuti, difahami dan dipertuturkan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri dan Sambutan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya.

Ahmad Samsuri berkata, dalam konteks Terengganu, dengan 97 peratus populasinya adalah masyarakat Melayu Islam, penduduknya perlu turut sama memahami kelompok bangsa dan agama lain.

Katanya, sebagai simbol perpaduan, kerajaan negeri di bawah Yayasan Terengganu juga mengambil inisiatif menubuhkan Tahfiz Mandarin di Sekolah Menengah Imtiaz Dungun untuk menjadikan bahasa sebagai asas memahami sesuatu kelompok.

“Pengambilan pertama membabitkan 50 pelajar yang akan memasuki sekolah tahfiz terbabit dan akan belajar Bahasa Mandarin serta mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam bahasa terbabit,” katanya.

Berita Harian X